Jumaat, 6 Januari 2017 | 8:58pm

Pairin lepas jawatan Presiden PBS


TAN Sri Joseph Pairin Kitingan (empat dari kiri) menyerahkan tugas kepemimpinan parti kepada Datuk Seri Dr Maximus Ongkili selaku Pemangku Presiden pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di ibu pejabat parti itu di Donggongon, Penampang, petang tadi. - Foto ihsan PBS

KOTA KINABALU: Selepas 31 tahun menerajui Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, melepaskan jawatan Presiden berkuat kuasa serta-merta dan menyerahkan tugas kepada Timbalannya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, petang tadi.

Penyerahan rasmi jawatan itu dilakukan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di ibu pejabat parti itu di Donggongon, Penampang, petang tadi.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Johnny Mositun, berkata Pairin membuat keputusan untuk berehat daripada kepemimpinan parti tetapi akan meneruskan kerja kemasyarakatan dan tugas sebagai menteri dalam Kabinet Sabah sehingga akhir penggal.

"Pada mesyuarat petang tadi, Pairin menyerahkan tugas mempengerusikan mesyuarat kepada Maximus selepas menyampaikan ucapan kepada ahli Majlis Tertinggi yang hadir.

"Bagaimanapun, Tan Sri (Pairin) akan terus menyelia dan membantu parti menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.

Johnny berkata, Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan semua urusan parti termasuk persediaan menghadapi PRU.

Katanya, pelantikan Maximus sebagai Pemangku Presiden PBS adalah fasa kedua dalam pelan peralihan kuasa parti berkenaan.

"Tan Sri (Pairin) meminta pemimpin parti di semua peringkat bekerjasama, bersatu dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang serta memberikan sokongan yang sama kepada Maximus," katanya.

Pada 29 Julai tahun lalu, Pairin mengumumkan proses peralihan kuasa kepemimpinan PBS selepas melantik Maximus yang memegang jawatan Timbalan Presiden PBS selama 23 tahun, untuk menjalankan tugas presiden parti.

374 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »