Sabtu, 7 Januari 2017 | 12:06am

Boleh masuk IPT

PUTRAJAYA: Graduan Kolej Vokasional (KV) perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Antara kriteria itu ialah:

* Mempunyai pengalaman bekerja selama dua tahun untuk mendapat Sijil Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), atau

* Memiliki kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang sudah disetarakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 3 kredit, iaitu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Akademik: 3.33; PNGK Vokasional: 3.67; kepujian dalam Bahasa Melayu dan kompeten semua Modul Vokasional.

Selepas memperoleh keputusan itu, graduan KV perlu mendapat kelulusan khas daripada KPT sehingga akreditasi penuh program diploma diperoleh.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan semalam menjelaskan graduan KV boleh melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda jika memenuhi semua syarat ditetapkan.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan BH semalam mengenai isu lepasan KV tidak boleh melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda walaupun mempunyai Diploma Vokasional Malaysia (DVM) kerana universiti awam (UA) tidak mengiktiraf diploma terbabit.

Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) juga menetapkan antara syarat kelayakan untuk memasuki program ijazah sarjana muda ialah mempunyai SPM, namun graduan DVM tidak menduduki peperiksaan itu.

Pelajar memasuki KV menggunakan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan mengikuti kursus kemahiran kursus itu selama empat tahun tanpa menduduki SPM untuk memperoleh DVM.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, 83.1 peratus graduan KV mendapat pekerjaan mengikut bidang pilihan dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi, sekali gus membuktikan mereka menerima pengiktirafan daripada industri. 

Kementerian itu menekankan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) bertujuan mengarusperdana pendidikan vokasional setanding dengan aliran pendidikan perdana. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Zainuren Mohd Nor, berkata kira-kira 83 peratus daripada 2,273 pelajar lepasan KV berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang berkaitan sebaik tamat pengajian, Disember lalu.

Katanya, data yang direkodkan oleh KV itu adalah berdasarkan pelajar kohort pertama yang sudah memperoleh Diploma Vokasional Malaysia (DVM) pada 2016.

Beliau berkata, jumlah tinggi pelajar KV yang diterima bekerja dalam tempoh dua bulan selepas tamat pengajian menunjukkan kursus ditawarkan KV memenuhi kehendak industri. 

"Jumlah graduan DVM yang mendapat pekerjaan adalah lebih tinggi berbanding sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 70 peratus bekerja, 20 peratus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan 10 peratus lagi menjadi usahawan.

"Bagaimanapun, data yang diperoleh menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila 83 peratus pelajar ditawarkan bekerja oleh pihak industri dan ini membuktikan kursus kemahiran di KV menepati matlamat penubuhan KV iaitu melahirkan tenaga kerja mahir," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

FAKTA NOMBOR: Matlamat TPV melahirkan tenaga kerja separuh mahir dan mahir 

70 peratus - ke pasaran kerja

20 peratus - melanjutkan pengajian 

10 peratus - menjadi usahawan

KERATAN berita BHPLUS semalam yang melaporkan isu 'Lepasan KV tanpa SPM tak layak ikuti program ijazah'.
PENGARAH Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Zainuren Mohd Nor. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PELAJAR lepasan kolej vokasional berdepan masalah melanjutkan pengajian. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X