Sabtu, 7 Januari 2017 | 7:23am

Guardiola kembali senyum selepas City belasah West Ham


KHAIRY Jamaludin (kiri) beramah mesra dengan barisan atlet yang hadir pada Program Kesedaran Anti Doping anjuran Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di Arena Tan Sri Hamzah. -Foto NSTP/Osman Adnan

LONDON: Manchester City mengembalikan senyuman ke wajah Pep Guardiola selepas skuad The Citizens melangkah ke pusingan keempat Piala FA hasil kemenangan 5-0 ke atas West Ham, sebentar tadi.

Guardiola tampak kurang selesa susulan musim kurang konsisten City apabila tampil dengan watak berbeza ketika sidang media selepas mencatat kemenangan ke atas Burnley, Isnin lalu.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga dipaksa untuk menarik balik kata-katanya apabila mengakui City sebagai destinasi terakhirnya di arena pengurusan dan kelab bimbingannya itu tidak sebesar musuh tetangga, Manchester United.

Begitupun, imej bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu berubah ketika pasukannya memusnahkan West Ham dengan tiga gol diperoleh dalam tempoh 10 minit di Stadium London.

Yaya Toure membuka tirai jaringan menerusi penalti sebelum jaringan sendiri Havard Nordtvei, diikuti gol David Silva meletakkan pelawat selesa mendahului 3-0 pada babak pertama.

City yang kali terakhir menjulang Piala FA pada 2011 menambah dua lagi gol menerusi penyerang, Sergio Aguero dan John Stones untuk memastikan Guardiola merasai nikmat kemenangan pertama di kejohanan bersejarah itu.

"Kami mampu untuk mengawal bola lebih lama berbanding perlawanan sebelum ini. Kami juga mencipta lebih banyak peluang," kata Guardiola. "Selepas gol kedua dan ketiga, ia menjadi lebih mudah pada babak kedua.

"Penting untuk menang di laman lawan namun ia tidak mudah. Kami adalah pasukan yang baik. Kami banyak berlari dan berusaha keras."

Ketika musim pertama di Bayern dan Barcelona, Guardiola memenangi piala domestik dan sering menyenaraikan skuad terkuat ketika perlawanan.

Dia tampak tidak mahu mengubah rancangannya di England dengan kesebelasan utamanya turut diisi penyerang Argentina, Aguero yang direhatkan ketika bertemu Burnley. - AFP

Berita Harian X