Ahad, 8 Januari 2017 | 7:47am

Piala FA: Giroud selamatkan maruah Arsenal lagi


PEMAIN Arsenal, Olivier Giroud diasak pemain Preston North End, Tom Clarke pada pusingan tiga Piala FA di Deepdale, semalam. - Foto AFP

LONDON: Olivier Giroud sekali lagi muncul penyelamat apabila jaringan lewatnya membantu Arsenal meraih kemenangan 2-1 ke atas kelab Liga Kejuaraan, Preston North End pada pusingan tiga Piala FA, semalam.

Penyudah menarik Giroud pada minit ke-89 itu jelas mengecewakan Preston yang mendominasi di awal perlawanan selepas Callum Robinson yang meletakkan mereka di depan seawal minit ketujuh.

Arsenal tampil dengan watak berbeza selepas rehat apabila menyamakan kedudukan seminit selepas babak kedua bermula apabila Aaron Ramsey menyudahkan umpanan Alex Iwobi.

Tuan rumah tampak seakan dipaksa mengharungi perlawanan ulangan, namun jaringan Giroud menyelamatkan mereka yang berpunca hantaran ke belakang Lucas Perez.

Ia adalah perlawanan keempat Giroud menjaringkan secara berturut-turut buat Gunners, termasuk tiga dalam kempen Liga Perdana Inggeris.

Preston memperoleh beberapa peluang baik selepas rehat namun mensia-siakannya termasuk daripada Jordan Hugill yang gagal menyempurnakan hantaran Robinson.

Selain itu, gol kedua yang dijaringkan Robinson turut dibatalkan selepas didapati melakukan kekasaran. - REUTERS

Berita Harian X