Ahad, 8 Januari 2017 | 8:18am

Ratu E, Bush, Carter, Rockefeller diramal meninggal dunia tahun ini

RATU Elizabeth II

LONDON: Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II; bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George H W Bush dan Jimmy Carter serta jutawan AS, David Rockefeller adalah antara mereka yang dijangka meninggal dunia tahun ini, demikian lapor sebuah laman web.

The Daily Express melaporkan, pemilik DeathList.net yang berjaya meramalkan 12 kematian selebriti dengan tepat pada 2016, menyenaraikan nama 50 selebriti yang mungkin mati tahun ini.

Tahun lalu, laman web berkenaan meramalkan dengan tepat kematian juara tinju dunia Muhammad Ali dan pemimpin revolusi Cuba, Fidel Castro.

Sementara bagi 2017, jawatankuasa pakar percaya bahawa Ratu Elizabeth yang kini berusia 90 tahun dan suaminya Putera Philip, 95, mungkin akan mati.

Akhir Disember lalu, Istana Buckingham melaporkan bahawa pemerintah paling lama di dunia itu mengalami selsema yang teruk, menyebabkan baginda tidak dapat menghadiri upacara gereja sempena Krismas dan Tahun Baharu 2017.

Suaminya, Putera Philip yang menghidap penyakit jantung dan masalah kesihatan lain, turut dilaporkan mengalami selsema sewaktu Krismas.

Selain itu, laman web itu turut menyenaraikan dua bekas Presiden AS, Bush dan Carter serta Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, 93, yang memerintah negara Afrika itu selama lebih 36 tahun. Bekas Pope Benedict XVI juga tersenarai.

Tahun lalu, 12 orang yang tersenarai dalam laman web berkenaan meninggal dunia, termasuk bekas Wanita Pertama AS, Nancy Reagan.

Bagaimanapun, beberapa calon lain, termasuk Stephen Hawking dan Putera Philip, tidak menepati ramalan. - AGENSI

Berita Harian X