Ahad, 8 Januari 2017 | 3:20pm

Arab Saudi perkenal peraturan lindung jemaah haji, umrah

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan peraturan baharu bagi melindungi hak jemaah haji dan umrah.

Peraturan berkenaan bertujuan memudahkan tugas penyeliaan dan pengawasan oleh jawatankuasa khas, selain penubuhan pusat komunikasi bagi menerima aduan jemaah haji serta umrah.

Menurut kementerian itu, ia juga bagi memastikan hak jemaah haji dan umrah asing dengan mengawasi kontrak perkhidmatan yang dipersetujui seperti penginapan, makanan dan pengangkutan.

Aduan jemaah akan dirujukkan kepada jawatankuasa khas bagi menentukan hukuman terhadap pihak yang melanggar peraturan ditetapkan.

"Syarikat penyedia perkhidmatan haji yang gagal memberi perkhidmatan seperti ditetapkan akan dikenakan denda, digantung daripada tugas selama satu musim atau lebih atau lesen ditarik balik," menurutnya.


Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan peraturan baharu bagi melindungi hak jemaah haji dan umrah. - Foto

Menurut kementerian itu, jemaah umrah layak mendapat keselesaan dan perlindungan keselamatan ketika menunaikan ibadah, selain kemudahan pengangkutan, penghantaran bagasi mengikut jadual dan bantuan pengesahan tiket penerbangan.

Bagi jemaah haji pula, selain berhak ke atas perlindungan keselamatan dan keselesaan ketika menunaikan ibadah, mereka juga berhak terhadap penguatkuasaan penuh kontrak yang dipersetujui dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Selain itu, jaminan kewangan terhadap syarikat supaya memenuhi kontrak berkenaan, selain lantikan wakil di mahkamah jika syarikat itu enggan memberikan pampasan kewangan. - Saudi Gazette

Berita Harian X