Ahad, 8 Januari 2017 | 6:36pm

6 wanita balas dendam samun pekerja kedai makan


ANTARA barang milik mangsa yang dilarikan oleh enam wanita termasuk seorang yang sarat mengandung di PPR Seri Semarak, Setapak, semalam.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan enam wanita, termasuk seorang sarat mengandung, membalas dendam dengan menyamun seorang pekerja kedai makan warga India yang dipercayai mencabul anak seorang daripada wanita terbabit, membawa padah apabila mereka ditahan polis semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, enam wanita berusia antara 16 hingga 36 tahun itu dilaporkan masuk ke dalam sebuah kedai makan di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setapak, di sini, dan menyerang lelaki berkenaan dengan kayu.

Suspek wanita itu kemudian menyelongkar barang di dalam kedai makan dan menyamun wang tunai RM600 sebelum membawa lelaki terbabit ke kediamannya di tingkat 12, Blok C, PPR berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata semasa di rumah mangsa, suspek kemudian bertindak menyelongkar seluruh rumah dan menyamun barang berharga milik lelaki terbabit serta mengarahkannya untuk bergambar bersama seorang daripada mereka di atas katil.

"Tujuannya adalah untuk mengugut lelaki terbabit supaya menyerahkan sejumlah wang sekiranya suspek kembali ke kedai makan pada masa lain.

"Semua suspek kemudian kembali ke rumah mereka di tingkat yang sama sebelum mangsa memaklumkan kejadian kepada majikannya yang kemudian menghubungi pihak polis," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan susulan, semua suspek terbabit yang juga rakyat tempatan kemudian ditahan di rumah mereka bersama barang yang disamun daripada mangsa seperti telefon bimbit, jam tangan, kamera, pasport serta beg.

"Setakat ini pihak polis sedang menahan lima wanita terbabit untuk siasatan lanjut namun terpaksa memberi jamin kepada wanita yang mengandung itu kerana faktor kesihatan," katanya sambil menambah semua suspek tiada sebarang rekod jenayah.

Polis Kuala Lumpur masih meneliti segala siasatan bagi melihat kemungkinan wujud faktor lain yang tidak diketahui sehingga berlaku kes ini termasuk dakwaan mangsa mencabul anak seorang daripada suspek.

115 dibaca
Berita Harian X