Isnin, 9 Januari 2017 | 11:14am

Profesional hartanah tinjau strategi lonjak pasaran


AHLI Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Ang Boon Heng bersama Presiden MIEA, Erick Kho dan Pengerusi MIEA, Liew Toh Sen bergambar dengan penerima sijil penghargaan pada Majlis Makan Malam Pengamal Hartanah anjuran MIEA di Danga Bay, Johor Bahru, malam tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Johor menghimpunkan lebih 500 profesional hartanah bagi meninjau strategi terbaik untuk melonjakkan kembali pendapatan serta keuntungan jualan sektor hartanah.

Pengerusinya, Liew Toh Sen, berkata dalam keadaan pasaran hartanah semasa yang perlahan, adalah perlu bagi profesional hartanah berkongsi pengalaman dan maklumat bukan saja untuk meningkatkan semula sektor hartanah tetapi juga aktiviti ekonomi.

"Semua analisis dan hasil perbincangan yang membabitkan profesional hartanah termasuk perunding dan pengamal industri hartanah serta rakan perniagaan ini dijangka mampu meningkatkan standard amalan hartanah selain mendidik orang ramai.

"Ini termasuk melindungi kepentingan awam untuk mengelakkan kehilangan wang, masa, tenaga dan menjejaskan keyakinan kerana penyelewengan dalam kalangan peserta hartanah tidak bertauliah di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pengamal Hartanah anjuran MIEA di Danga Bay di sini, malam tadi. Majlis itu dirasmikan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Ang Boon Heng yang mewakili Datuk Bandar malam tadi.

Turut hadir Presiden MIEA, Erick Kho.

Toh Sen, berkata pihaknya juga berusaha meningkatkan kempen mendidik orang ramai mengenai kepentingan menggunakan ejen bertauliah dan melindungi kepentingan golongan berkenaan.

"Malah, Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia (BOVAEA) amat prihatin terhadap kepentingan awam terhadap pemalsuan dan penipuan," katanya.

Katanya, MIEA Johor juga sedang menjalankan kursus sijil perunding (NCC) pada setiap bulan.

Berita Harian X