Isnin, 9 Januari 2017 | 11:23am

Hillary Clinton tidak minat bertanding lagi

HILLARY Clinton. - Foto Reuters

WASHINGTON: Hillary Clinton dilaporkan 'tidak lagi berminat' untuk bertanding merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat, selepas tewas kepada Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden, November lalu.

"Saya rasa beliau kini akan lebih menumpukan perhatian kepada usaha untuk membantu kanak-kanak dan keluarga.

"Perkara itu memang menjadi tumpuan beliau selama ini dan pada masa depan, selain lain-lain isu yang membabitkan golongan terbabit," kata Presiden Pusat Kemajuan Amerika, Neera Tanden."

Malah, pemimpin kumpulan pemikir yang mempunyai kaitan dengan parti Demokrat itu turut meramalkan bahawa Clinton tidak akan bertanding mana-mana jawatan lagi.

"Saya tidak fikir beliau akan bertanding untuk sebarang jawatan," katanya.

Tanden berkata demikian ketika mengulas artikel New York Times yang menyiarkan spekulasi sama ada Clinton akan bertanding jawatan Datuk Bandar New York yang ketika ini disandang bekas ketua kempennya, Bill de Blasio.

Dalam pada itu, Clinton dijangka menghadiri majlis pelancaran sebuah dewan pameran di Jabatan Negara pada Selasa, yang diberi nama sempena beliau.

Beliau juga dijadualkan menghadiri majlis mengangkat sumpah Trump pada 20 Januari ini, dengan ditemani suaminya, bekas Presiden Bill Clinton. - AGENSI

Berita Harian X