Isnin, 9 Januari 2017 | 12:59pm

PKPKM alukan pelantikan Shahrir

TAN Sri Shahrir Abdul Samad. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

"Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik beliau adalah langkah yang tepat, kerana beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang amat luas tentang industri sawit di Malaysia, selain pernah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk beberapa tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKPKM pernah melakukan kunjungan hormat semasa beliau memegang jawatan sebagai pengerusi MPOB, bagi membentangkan beberapa perkara berkenaan pekebun kecil sawit untuk mendapatkan jalan penyelesaian.

"Beliau banyak menyumbangkan idea yang membolehkan pelbagai isu dapat dibincangkan dan diselesaikan berkenaan pekebun kecil sawit," katanya.

Aliasak berkata, PKPKM bersedia untuk bekerjasama dengan FELDA bagi lebih memahami perkara yang sebenarnya berlaku di peringkat peneroka untuk diselesaikan bersama, terutama berkaitan kaedah pembayaran Buah Tandan Segar (BTS) dan beberapa isu lain.

PKPKM yang mempunyai ahli lebih 100 ribu orang juga mempunyai ahli yang terdiri daripada pekebun kecil yang berada di bawah rancangan kerajaan seperti FELDA, FELCRA dan lain-lain.

Berita Harian X