Isnin, 9 Januari 2017 | 1:27pm

ETCM perkenal pakej Teana NISMO

TAN (kanan) bersama Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Nissan Motorsports International Co Ltd, Masato Hoshi (kiri) dan pelumba NISMO Racing, Tsugio Matsuda (dua dari kiri) serta Ronnie Quintarelli ketika memperkenalkan pakej prestasi Nissan Teana NISMO di Petaling Jaya, baru-baru ini.
TAN (kanan) bersama Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Nissan Motorsports International Co Ltd, Masato Hoshi (kiri) dan pelumba NISMO Racing, Tsugio Matsuda (dua dari kiri) serta Ronnie Quintarelli ketika memperkenalkan pakej prestasi Nissan Teana NISMO di Petaling Jaya, baru-baru ini.

DALAM usaha meningkatkan akses pelanggan kepada produk lebih 'ranggi', Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan pakej prestasi bagi model Nissan Teana NISMO.

Jentera itu diperkenalkan oleh pemandu pasukan perlumbaan NISMO, Tsugio Matsuda dan Ronnie Quintarelli dalam satu majlis prebiu media di Pusat 4S ETCM Glenmarie.

Pakej prestasi Nissan Teana NISMO menampilkan pelbagai aksesori yang direka khusus untuk pembeli Teana dengan tempahan diterima mulai 18 Disember lalu dan penghantaran rasmi dijadual pada Januari 2017.

Ketika memperkenalkan model baharu itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata: "Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemandu pasukan perlumbaan Pakej prestasi Nissan Teana NISMO kerana ia adalah kereta yang mencabar status quo serta menjadi pencetus revolusi segmen yang menawarkan kecanggihan sebuah Teana dan gaya sporty NISMO."

NISMO adalah satu daripada jenama sukan bermotor terkenal di dunia. Ia menawarkan teknologi sukan bermotor termaju, keupayaan prestasi dinamik dan reka bentuk sporty yang tersendiri.

Naik taraf Nissan Teana NISMO hadir dalam dua pakej iaitu NISMO Performance Package dan NISMO Aero Package.

Ia ditawarkan kepada semua varian Nissan Teana yang hadir dalam lima warna - biru (Storm Blue), putih (Brilliant White), hitam (Diamond Black), perak (Tungsten Silver) dan emas (Bronze Gold).

Diinspirasikan oleh kepakaran sukan bermotor NISMO, Nissan Teana NISMO Performance Package dihasilkan berdasarkan kepada standard NISMO yang ketat.

Ia dilengkapi Spoiler Bampar Hadapan untuk penampilan yang lebih garang. Jentera itu juga dipertingkatkan dengan Spoiler Bampar Belakang, Skirt Sisi dan Trunk Lid Spoiler.

Konsep rekaan NISMO diserlahkan lagi dengan Rim Aloi NISMO LMX6 bersaiz 18 inci berwarna hitam berkilat dan kemasan krom yang dibalut dengan tayar MICHELIN Pilot Sport 4.

Kombinasi itu ditambah dengan NISMO Sport Springs yang direndahkan sebanyak 30 milimeter (mm) untuk memberikan cengkaman lebih baik dan Kemasan Ekzos Sports NISMO yang menyempurnakan lagi tarikan estetik bersama sentuhan elegan.

Info:

Harga pakej prestasi termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)

NISMO Performance Package (RM16,960)

* NISMO Spoiler Bampar Hadapan

* NISMO Spoiler Bampar Belakang

* NISMO Skirt Sisi

* NISMO Sport Springs

* NISMO Kemasan Ekzos

* Satu Set 4 Rim Aloi NISMO LMX6 18-inci

* 4 unit Tayar MICHELIN Pilot Sport 4

NISMO Aero Package (RM6,201)

* NISMO Spoiler Bampar Hadapan

* NISMO Spoiler Bampar Belakang

* NISMO Skirt Sisi

* NISMO Trunk Lid Spoiler

* NISMO Kemasan Ekzos

Berita Harian X