Isnin, 9 Januari 2017 | 6:31pm

Sektor binaan tanggung kos tambahan RM2b

PRESIDEN Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan mungkin perlu menanggung kos tambahan melebihi RM2 bilion setahun susulan peraturan majikan dikehendaki membayar levi pekerja asing mereka, berkuat kuasa 1 Januari 2017.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee, berkata kesannya termasuk peningkatan levi kepada RM1,850 setiap pekerja asing yang diambil bekerja berbanding RM1,200 kurang setahun lalu.

Pada 31 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan majikan dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan bertanggungjawab membayar levi pekerja asing mereka dan tidak dibenarkan membuat potongan gaji.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Chek Lee berkata, keputusan yang dikuatkuasakan di bawah Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) itu bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja dari tempoh diambil bekerja hingga pulang ke negara asal.

"Pelaksanaan dasar ini bermakna kos tambahan bagi industri sokongan lain yang boleh membawa kepada peningkatan kos keseluruhan bagi industri pembinaan.

"Jumlah besar itu akan menjejaskan aliran tunai majikan dan menjadikan sektor pembinaan lebih mahal serta kurang kompetitif," katanya sambil menambah kos tambahan itu mungkin dipindahkan kepada pembeli.

Beliau berkata, MBAM mewakili 32 persatuan kontraktor lain, akan merayu kepada kerajaan untuk menarik balik dasar baharu itu dan berbincang dengan industri pembinaan berhubung perkara itu bagi keputusan yang produktif dan memberi manfaat kepada kerajaan dan peserta industri.

"Perubahan dalam pembayaran levi tidak akan memberi sebarang manfaat kepada rakyat. Pekerja asing akan menghantar pulang 'durian runtuh' ke negara asal mereka.

"Kami percaya jumlah ini (RM2 bilion) boleh dimanfaatkan oleh industri tempatan untuk mengguna pakai teknologi baharu dan jentera bagi meningkatkan produktiviti dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam jangka masa panjang," katanya.

Melalui perubahan dasar itu, Chek Lee berkata, pekerja asing sedia ada akan menuntut terma sama yang boleh menyebabkan kemelut dalam industri.

"Pekerja asing yang sah sekarang disyaratkan perlu membayar levi untuk bekerja di negara kita.

"Menukar dasar ini separuh jalan bukan saja akan memberi manfaat kepada pekerja asing tetapi juga akan memberi kesan kepada moral dan menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja tempatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X