Isnin, 9 Januari 2017 | 9:56pm

RLIR 2017 dijangka lebih dramatik

LANGKAWI: Perlumbaan edisi ke-15 Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2017 yang membuka tirainya esok bakal dihangatkan dengan penyertaan kira-kira 30 bot dari 10 negara.

Walaupun jumlah penyertaan itu sedikit menurun berbanding edisi lalu yang menyaksikan penyertaan 32 bot, namun ia dijangka lebih sengit dengan kehadiran pasukan baharu dari Thailand, THA 72 yang dikemudi Tom Whitcraft.

Menurut ketua pegawai perlumbaan RLIR, Simon James, penyertaan pasukan dari Asia bagaimanapun menunjukkan peningkatan dengan 21 pasukan mengambil bahagian berbanding 19 pada edisi lalu.

"Memang ada peningkatan dari segi jumlah penyertaan pasukan Asia, ini mungkin disebabkan sukan pelayaran kini dipertandingkan dalam Sukan Olimpik jadi ia mula mendapat tempat di setiap negara," kata James pada sidang media di Langkawi Yacht Club, sebentar tadi.

Dalam senarai awal sehingga petang tadi, Malaysia mengepalai jumlah penyertaan tertinggi dengan 13 pasukan diikuti Thailand (enam), Australia (lima), Singapura (dua) dengan Hong Kong, Amerika Syarikat, Denmark, Austria, Britain dan Turki masing-masing satu pasukan.

Bagaimanapun, James menjelaskan jumlah itu mungkin boleh berubah dari masa ke semasa kerana tempoh pendaftaran akan berakhir pada jam 7.30 pagi esok.

Mengulas lanjut, James mengakui pihaknya turut menyediakan pelan kecemasan untuk mengubah laluan perlumbaan sekiranya cuaca tidak berjalan seperti diinginkan walaupun masih mengekalkan laluan sama seperti tahun lalu - Kuah Harbour, West Coast dan Around the Island.

"Ia bagi memastikan situasi seperti tahun lalu tidak berulang apabila dua perlumbaan terakhir tidak dapat dijalankan kerana tiupan angin yang berkurangan.

Jadi kami sudah bersiap sedia untuk mengubah perlumbaan berdasarkan keadaan cuaca."

Juara bertahan keseluruhan Oi! dari Australia yang dikendalikan Peter Ahern dan Rolf Heemskerk akan turun mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi lalu.

Sebanyak lapan kategori perlumbaan ditawarkan antaranya kelas utama Racing, IRC1, IRC2, Sportsboats, Multihull, Club, Ocean Rover dan White Sail.

Berita Harian X