Selasa, 10 Januari 2017 | 12:20am

Trump bidas serangan Streep


DONALD Trump membidas Meryl Streep.- Foto AFP

NEW YORK: Donald Trump membidas lagenda filem Meryl Streep hari ini dengan menuduh beliau terlalu taksub dengan Hillary Clinton selepas aktres itu mengutuk dirinya dalam majlis penganugerahan Golden Globes.

Seolah-olah menjadi satu rutin buat Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS) yang sensitif itu, Trump bertindak membalas kenyataan pemenang anugerah Oscar tiga kali itu menerusi Twitter.

"Meryl Streep, seorang pelakon wanita yang terlalu diraikan di Hollywood, tidak mengenali saya namun melakukan serangan malam tadi di Golden Globes. Beliau adalah pembodek Hillary yang kalah besar," kata Trump.

Streep mengutuk Trump kerana retorik memecah-belahkan ketika menerima anugerah pencapaian seumur hidup dalam anugerah berprestij itu di Los Angeles, semalam.

Aktres berusia 67 tahun itu dilihat berusaha mengawal emosinya ketika menerima tepukan gemuruh selepas ucapan penerimaan bagi Anugerah Cecil B DeMille diserahkan Persatuan Media Luar Negara Hollywood.

"Kamu semua dan saya dalam dewan ini adalah di antara kelompok masyarakat AS paling teruk. Cuba fikirkan. Hollywood, warga asing dan media," katanya sambil tertawa merujuk kepada kempen Trump yang sering memecah-belahkan pendatang dan menggelar media sebagai berat sebelah.

Industri hiburan AS umumnya menyokong pencabar Demokrat Trump, Hillary Clinton dengan ramai bintang secara terbuka menyokong beliau bertanding merebut jawatan Presiden AS.

Streep mengutuk Trump berkaitan ucapan kempen, di mana Trump menghina seorang wartawan kurang upaya New York Times, Serge Kovaleski dengan meniru gayanya.

"Ketika itu, individu yang inginkan jawatan paling dihormati di negara kita meniru gaya seorang wartawan cacat, amat jauh daripada memiliki keistimewaan, kuasa dan kemampuan untuk melawan. Ia menyakitkan hati saya untuk melihatnya," kata Streep. - AFP

235 dibaca
Berita Harian X