Selasa, 10 Januari 2017 | 9:31am

Ibrahimovic menang kes saman fitnah doping


Zlatan Ibrahimovic.

STOCKHOLM: Mahkamah Sweden mendenda bekas jurulatih trek kebangsaan negara itu kerana menuduh penyerang, Zlatan Ibrahimovic menggunakan dadah perangsang ketika beraksi bersama gergasi Itali, Juventus.

Mahkamah Daerah Varmland mengarahkan Ulf Karlsson membayar denda 24,000 Swedish kronor (RM11,890) kerana memfitnah penyerang Manchester United itu menerusi komen yang dibuat ketika panel perbincangan tahun lalu.

Karlsson berkata, tanpa menyediakan sebarang bukti, yang dia 'yakin' Ibrahimovic menggunakan bahan terlarang kerana meraih peningkatan '10 kilogram otot' dalam tempoh setahun di Juventus.

Dia membuat komen serupa kepada akhbar tempatan.

Sekali pun Karlsson kemudian mengeluarkan permohonan maaf kepada Ibrahimovic, penyerang kelahiran Sweden itu tetap memfailkan saman fitnah atas tuduhan terbabit.

Ibrahimovic yang tidak pernah diuji positif doping sepanjang kariernya beraksi bersama Juventus untuk musim 2004 hingga 2006. - AP

20 dibaca
Berita Harian X