Selasa, 10 Januari 2017 | 11:08am

Audi Q3 2.0 lebih sporty, bertenaga

GABUNGAN rekaan maskular dipadankan dengan prestasi dan ciri ergonomik. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KEPAKARAN teknologi Jerman khususnya dalam bidang kejuruteraan automotif sememangnya diperakui sebagai antara yang terbaik di peringkat global.

Banyak kenderaan premium buatan negara itu seperti BMW, Mercedes dan Audi sentiasa mendominasi pasaran automotif dan menjadi idaman ramai peminat dari seluruh dunia.

Justeru, penulis tidak melepaskan peluang apabila dipelawa oleh Audi Malaysia baru-baru ini untuk memandu uji Audi Q3 2.0 TFSI Quattro yang diberikan penambahbaikan berbanding model sebelumnya.

Ternyata hasil penambahbaikan dari segi rekaan, prestasi dan versatiliti menjadikan penampilan SUV kompak premium ini lebih segar dan sporty. Perubahan itu merangkumi teras progresif tagline popular Audi iaitu 'Vorsprung durch Technik'.

Penambahbaikan dari segi penampilan bermula dari ukiran gril bingkai tunggal dengan dominasi garisan mendatar di depan dan belakang. Rekaan itu menyerlahkan kelebaran kenderaan dan karakter garisan coupe dan ciri lilitan pintu belakang.

Turut diberikan penambahbaikan adalah lampu depan yang direka semula apabila didatangkan standard dengan teknologi lampu xenon plus dan lampu LED nyalaan siang hari.

Bagaimanapun, saiz dan dimensi jentera ini dikekalkan seperti model Q3 sebelumnya iaitu 4.39 meter panjang, 1.83 meter lebar dan 1.59 meter tinggi, dengan jarak roda 2.6 meter.

Model yang ditambah baik ini masih menawarkan keselesaan ruang kabin yang luas seperti model sebelumnya. Status premiumnya diserlahkan lagi menerusi rekaan ergonomik dan hasil pertukangan Jerman yang unggul.

Sistem infotainmen pula didatangkan standard dengan radio MMI(R), merangkumi skrin TFT berwarna bersaiz 6.5 inci bersama sistem audio Audi enam saluran amplifier dan 10 unit pembesar suara.

PANEL pemanduan yang mesra pemandu dan mudah dikendalikan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dari segi prestasi, jentera ini didatangkan dengan enjin petrol 1,984 cc empat-silinder suntikan terus bahan api dan pengecas turbo. Dipacu transmisi tujuh-kelajuan S tronic yang sama seperti model sebelumnya, ia memberikan kuasa tambahan apabila mampu mencapai kelajuan 100 km/j dalam 7,6 saat, 0.2 saat lebih pantas daripada varian sebelumnya.

Kelajuan maksimum juga bertambah 5 km/j kepada 217 km/j. TFSI 2.0 ini juga lebih cekap bahan api dan mesra alam, dengan mendakwa mencapai 6.5 l/100km (sebelum ini 7.7 l/100km) dan tahap pelepasan emisi 150 g/km (sebelumnya 179 g/km).

Turut ditambah baik ialah casis model ini menerusi talaan kejuruteraan terbaik di Ingolstadt, menjadikannya lebih kukuh dan menawarkan lebih keselesaan di atas apa jua permukaan jalan.

Untuk keselamatan dan ketenangan pemandu, model ini antara lain dilengkapi sistem start/stop, bantuan parkir tambahan (sistem bantuan parkir dengan paparan imej 360 darjah), bantuan permulaan bukit, kawalan kestabilan elektronik (ESC), Kawalan Tarikan (ASR), EBD, ABS) serta enam beg udara.

Pelbagai penambahbaikan yang dilakukan ternyata menjadikan model Audi Q3 2.0 baharu ini bukan saja lebih menyerlah dari segi penampilan premiumnya, malah turut meningkatkan prestasi dan kuasa pemanduan.

Namun, penulis tidak berkesempatan mengerah sepenuhnya kemampuan sebenar prestasi jentera 1,984 cc yang dipacu transmisi tujuh-kelajuan S tronic ini kerana hanya berpeluang memandu pada hari bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang.

RUANG kargo boleh ditambah daripada 460 liter kepada 1,365 liter dengan melipat kerusi belakang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

JENTERA ini didatangkan dengan enjin petrol 1,984 cc empat silinder suntikan terus bahan api dan pengecas turbo. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Info Audi Q3 2.0 TFSI Quattro

  • Kapasiti enjin 1,984 cc dengan pengecas turbo
  • Output maksimum 180hp / 4,000 - 6,200rpm
  • Tork maksimum 320Nm @ 1,400 - 3,900rpm
  • Transmisi tujuh-kelajuan S tronic
  • Pecutan 100 km/j dalam masa 7.6 saat
  • Kelajuan maksimum 217 km/j
  • Lima warna pilihan iaitu putih, perak, biru, coklat dan hitam.
  • Harga RM254,900

Berita Harian X