Selasa, 10 Januari 2017 | 2:58pm

Suami isteri didakwa tipu pelaburan di Tanah Suci

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri hari ini didakwa di Mahkamah Majistret masing-masing terhadap dua pertuduhan berkaitan menipu dan bersubahat memperdaya pelabur berkaitan program Islamic Hotel iaitu pelaburan dalam pajakan bilik hotel di Makkah dan Madinah membabitkan kerugian RM597,151 pada April 2015.

Sheikh Saidey Nor Sheikh Rahman, 43, dan Sofia Affendi, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama Sheikh Saidey Nor didakwa menipu seorang wanita dengan menawarkan pelaburan program Islamic Hotel iaitu pelaburan dalam pajakan hotel di Makkah dan Madinah supaya menyerahkan cek berjumlah RM314,535, di sebuah restoran di Bandar Baru Uda, dekat sini, antara jam 8.30 malam hingga 11 malam pada April 2015.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama membabitkan cek berjumlah RM282,616.73, di lokasi dan tarikh yang sama.

Sofia pula menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat dengan Sheikh Saidey Nor memperdaya mangsa supaya menyerahkan kedua-dua cek terbabit.


Ahli perniagaan, Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman (depan tengah) bersama isterinya Sofia Affendi (dua dari kiri) di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd Nasir, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dengan alasan kedua-dua tertuduh sebelum ini gagal dikesan dan turut menghadapi tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), selain kedua-duanya akan diserahkan kepada polis Bukit Aman bagi membantu siasatan kes di negeri lain.

Bagaimanapun pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM100,000 bagi setiap tertuduh jika mahkamah membenarkan ikat jamin, selain dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian memerintahkan setiap tertuduh masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM90,000 dan menetapkan 7 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melantik peguam.

Berita Harian X