Selasa, 10 Januari 2017 | 3:31pm

KSU disiasat SPRM digantung tugas


ALI Hamsa pada sidang media di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah digantung tugas daripada perkhidmatan sejak ditahan pada 4 Januari lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pegawai kanan berkenaan kini ditempatkan ke Jawatan Kumpulan Tidak Berportfolia (pool) di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Buat masa ini beliau masih menerima gaji penuh dan akan menerima gaji separuh apabila kesnya didakwa di mahkamah nanti sehingga dibuktikan bersalah," katanya pada sidang media di sini hari, ini.

Selain itu, beliau menyokong tindakan SPRM memerangi gejala rasuah dalam perkhidmatan awam termasuk pegawai kanan kerajaan.

"Kita menyokong SPRM untuk mengambil tindakan dan kami di peringkat penjawat awam akan meneruskan usaha pencegahan," katanya.

Beliau juga mengingatkan penjawat awam mereka boleh meneruskan hobi bermain golf atau apa juga aktiviti tetapi jangan babitkan pihak berkepentingan yang boleh membawa kepada penyelewengan.

Berita Harian X