Selasa, 10 Januari 2017 | 8:45pm

HLT Global mula didagangkan di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: HLT Global (HLT) Bhd mula didagangkan di Pasaran Ace di Bursa Malaysia hari ini pada 55 sen, dengan premium 10 sen melebihi harga terbitannya pada 45 sen sesaham.

Pengeluar barisan mesin acuan sarung tangan itu yang mencatatkan kadar lebihan langganan 24.64 kali semasa pengundian, menyaksikan 5.37 juta saham bertukar tangan semasa pembukaan.

"Kami sangat gembira dengan harga pembukaan premium sebanyak 55 sen itu, peningkatan sebanyak 22.2 peratus daripada harga permulaan saham kami pada 45 sen.

"Ia menunjukkan tahap keyakinan pelabur terhadap syarikat dan pasaran global," kata Pengarah Eksekutif Kumpulan, Chan Yoke Chun pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian itu.

Beliau berkata, melalui penyenaraian itu, HLT Global berhasrat untuk memanfaatkan prestasi syarikat yang kukuh bagi mencari peluang pasaran di samping mengukuhkan kewujudannya di rantau ini dan di peringkat global.

Pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) HLT Global membabitkan terbitan awam 39.591 juta saham biasa baru dan tawaran untuk jualan sebanyak 34.309 juta saham pada harga terbitan/tawaran 45 sen sesaham.

Melalui IPO, ia menyasar untuk meraih RM17.8 juta, dengan RM9 juta (51 peratus) akan digunakan bagi perbelanjaan modal, RM1.5 juta (8.4 peratus) bagi penyelidikan dan pembangunan, RM4.9 juta (27.6 peratus) bagi modal kerja, dengan selebihnya RM2.4 juta (13.5 peratus) bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Buat masa ini syarikat berkenaan mempunyai kilang di Thailand, Indonesia, India dan Arab Saudi.

Menurut Yoke Chun, fokus utama syarikat kini ialah Malaysia, dengan rancangannya akan berkembang ke Vietnam pada masa hadapan.

"Kami sedang mencari tanah di bahagian selatan Lembah Klang bagi memungkinkan pembinaan sebuah kilang baru.

"Bagi Vietnam, kami merancang untuk menembusi pasaran di sana. Penyelidikan kami menunjukkan negara ini tempat yang baik untuk melabur dengan pelbagai perniagaan dan ramai pelabur yang pergi ke sana," katanya lagi. - BERNAMA

44 dibaca
Berita Harian X