Rabu, 11 Januari 2017 | 8:00am

Benelli TnT135 rekaan menarik, ranggi


TAMPIL sisi baharu jenama dari Itali di Malaysia. - Foto Aizuddin Saad

PERTAMA kali melihat Benelli TnT135 ketika diperkenalkan pada awal bulan lalu, ramai pengamal media termasuk BH Auto sedikit terpegun dengan penampilan motosikal dalam kategori 'fun bike' ini.

Rekaannya memperlihatkan bagaimana jenama dari Itali itu bersungguh-sungguh untuk membawa imej baharu Benelli di Malaysia, sekali gus menarik lebih ramai pemilik motosikal di negara ini menggunakan jentera kecil ini.

Walaupun tampil dengan kapasiti enjin kecil iaitu 134.7 cc, namun rekaannya membawa konsep 'naked' yang menjadi kebiasaan bagi Benelli sejak dulu lagi.

Peluang menunggang uji TnT135 pasti dinantikan sesiapa saja dan bagi penulis yang tertarik dengan rekaannya yang comel sejak pertama kali melihat 'gaya' ranggi motosikal ini ketika dilancarkan di Kuala Lumpur, sudah boleh mengagak bahawa ia pasti mudah dikendalikan memandangkan saiznya agak kecil.

Ternyata, jangkaan penulis tepat selepas Benelli Malaysia, pengedar motosikal jenama berkenaan di Malaysia memberi peluang kepada BH Auto menjadi antara terawal menunggang uji jentera baharu itu.


SISTEM sensor ekzos oksigen catalytic converter yang direka bagi mengeluarkan bunyi yang sporty. - Foto Aizuddin Saad

MENGGUNAKAN gear 5-kelajuan untuk tunggangan menarik dan lancar. - Foto Aizuddin Saad

Benelli Malaysia menawarkan dua pilihan warna untuk TnT135 iaitu merah dan putih, namun penulis memilih jentera berwarna merah untuk sesi tunggang uji selama seminggu. Merah adalah warna sinonim bagi jentera Benelli selain warna itu lebih 'bangkit' untuk tujuan fotografi.

Rekaan Benelli TnT135 amat unik dan menarik kerana menggabungkan banyak elemen yang terdapat pada motosikal jenama lain yang dipadankan dengan bahagian tangki berserta kerangka Trellis, 'ekor' belakang dan ekzos tirus bersama lampu hadapan LED yang membuatkannya sangat sepadan.

Berdasarkan ukuran, TnT135 mempunyai panjang 1,750 mm, tinggi 1,025 mm dan jarak di antara roda 1,215 mm, manakala ketinggiannya pula adalah 160 mm, sesuai untuk penunggang bertubuh kecil seperti penulis.

Dengan saiz seperti ini, mengendalikan TnT135 di dalam bandar adalah sangat mudah dan lincah untuk menukar laluan ketika berdepan trafik sesak di bandar.

Benelli TnT135 dikuasakan enjin satu silinder berkapasiti 134.7 cc yang menghasilkan kuasa 12.6 hp pada 9,000 rpm dan 10.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Jika anda mahukan lebih kuasa dan digunakan untuk perjalanan jauh, lupakan saja kerana motosikal ini dicipta untuk 'fun bike' di mana anda akan memperoleh keseronokan menunggangnya di bandar.


TnT135 serba baharu ini didatangkan dengan ciri menarik, termasuk status pensijilan penuh kenderaan cekap tenaga oleh JPJ dan pensijilan Euro 4. - Foto Aizuddin Saad

Penggunaan fork jenis terbalik 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang menyerap setiap hentakan dan memberi keyakinan termasuk untuk berhadapan jalan berliku, malah brek cakera 220 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera 190 mm serta angkup satu piston di belakang juga mencukupi pada motosikal ini, walaupun tidak mempunyai sistem brek anti-kunci (ABS).

Model baharu dalam keluarga Benelli yang menggunakan enjin suntikan bahan api elektronik SOHV 4-injap sejukan pelincir ini turut menggunakan rangka tiub keluli menjadikan tunggangan Benelli TnT135 lebih mantap di semua permukaan jalan raya.

Selain itu, TnT135 serba baharu itu didatangkan dengan ciri menarik, termasuk status pensijilan penuh kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pensijilan Euro 4.

Model pemasangan tempatan (CKD) di kilang pemasangan Benelli di Bukit Beruntung, Selangor itu juga menggunakan gear 5-kelajuan untuk tunggangan menarik dan lancar sehingga tahap maksimum serta fork terbalik bersaiz 41 milimeter yang dapat memberi kestabilan dan keselesaan ketika menunggang.

Ia turut tampil dengan sistem sensor ekzos oksigen catalytic converter yang direka bagi mengeluarkan bunyi yang sporty untuk keriangan tunggangan.

Info:
Benelli TnT135

  • Harga jualan asas RM7,990 tidak termasuk GST
  • Enjin suntikan bahan api elektronik SOHV 4-injap sejukan pelincir
  • Kapasiti 134.7cc
  • 13 kuasa kuda pada rpm 9,000
  • 5 kelajuan
  • Status EEV
  • Warna pilihan dan grafik menarik, iaitu merah dan putih
Berita Harian X