Rabu, 11 Januari 2017 | 11:35am
SITI dan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Siti jadi deejay pada hari jadi


SITI diberi slot khas di stesen radio Hot FM sebagai penyampai undangan istimewa. - Foto Hot FM

KUALA LUMPUR: Meraikan ulang tahun kelahiran ke-38 hari ini, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza diberi slot khas di stesen radio Hot FM sebagai penyampai undangan istimewa.

Siti mengendalikan slot Datuk Siti Nurhaliza Take Over atau #CTTakeOverHot selama dua jam mulai 10 pagi tadi.

Pertama kali menjadi penyampai radio, pendengar Hot FM berpeluang mendengar rangkaian lagu penyanyi Jerat Percintaan itu dan kisah pembabitannya dalam dunia seni.

"Anugerah yang diterima lebih kepada pemberi semangat kerana ia bukan mudah untuk dikekalkan.

"Siti anggap ia permulaan baharu dan peluang memperbaiki kekurangan diri. Kesetiaan dan kepercayaan peminat adalah suatu amanah buat saya," katanya ketika bersiaran.

Siti turut berkongsi momen indah memenangi 250 anugerah selama 20 tahun menjadi penghibur.

Siti atau nama penuhnya, Siti Nurhaliza Tarudin, yang mendirikan rumah tangga pada 20 Ogos 2006, turut menerima ucapan hari jadi daripada suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Selain peminat, teman dan anggota keluarga turut mengucapkan selamat hari jadi kepada penyanyi kebanggaan negara itu.

Berita Harian X