Rabu, 11 Januari 2017 | 12:57pm

Tiada lagi banjir kilat di Johor Bahru


PESURUHJAYA Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Mohamad Sa'elal. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Kejadian banjir kilat di pusat bandar dapat dikawal apabila sistem tebatan banjir menerusi Projek Transformasi Sungai Segget beroperasi sepenuhnya, April ini.

Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Mohamad Sa'elal, berkata pihaknya mengambil semua langkah pencegahan termasuk mengenal pasti beberapa lokasi yang menyebabkan laluan air tersekat dan bertakung.

Sebagai contoh, katanya, Jalan Meldrum dekat sini yang selalu dinaiki air apabila hujan lebat, dijangka tidak lagi mengalami masalah itu apabila kerja pembersihan bawah tanah selesai.

"Sistem tebatan banjir kini berada dalam fasa percubaan dan ujian pelaksanaan dijangka selesai menjelang April sebelum beroperasi sepenuhnya.

"Buat masa ini, kita menjalankan sistem mengepam air keluar secara manual dan apabila berfungsi sepenuhnya, masalah banjir kilat tidak akan berulang," katanya pada sidang media mengenai status terkini Projek Sungai Segget di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, menyuarakan rasa tidak puas hati dengan projek Sungai Segget yang didakwa gagal berfungsi sebagai tebatan banjir sehingga menyebabkan banjir kilat di pusat bandar.

Susulan itu, beliau meminta Jabatan Audit Negara menjalankan audit prestasi terhadap projek transformasi Sungai Segget yang dilaksanakan IRDA.

70 dibaca
Berita Harian X