Rabu, 11 Januari 2017 | 3:53pm

Pembayaran levi pekerja asing ditangguh

DATUK Seri Liow Tiong Lai.- Foto Yazit Razali

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini bersetuju menangguhkan sehingga tahun depan pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC), yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penangguhan itu dibuat selepas mendengar maklum balas dan permintaan daripada pihak berkepentingan terutama majikan, selepas pelaksanaan EMC diumumkan awal tahun ini.

Katanya sebelum ini majikan tertanya-tanya adakah mereka perlu membayar levi pekerja asing selepas pelaksanaan EMC berikutan beberapa isu berkaitan belum dimuktamadkan.

"Kita menerima banyak maklum balas daripada majikan serta pihak berkepentingan berhubung perkara ini, dan selepas mendengar keluhan mereka, Kabinet setuju untuk menangguhkan pembayaran levi.

"Pada masa sama, ia juga akan membolehkan ekosistem pelaksanaannya diwujudkan terlebih dahulu bagi memudahkan majikan menggaji pekerja asing," katanya ketika ditemui media di lobi Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan majikan bertanggungjawab sepenuhnya membayar levi pekerja asing berkuat kuasa Ahad lalu di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC).

Bagaimanapun, persatuan majikan termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) membantah keputusan itu.

Tiong Lai berkata, ketiadaan ekosistem pelaksanaannya menimbulkan kesukaran kepada majikan kerana ia tidak boleh dilihat secara keseluruhan, termasuk hak majikan untuk mendapat pekerja asing secara langsung tanpa orang tengah, mengurangkan kerenah birokrasi dan pengambilan pekerja asing dengan mudah.

Dalam perkembangan lain, kata Tiong Lai, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk melatih pemandu bas di bawah Skim Dana Pembangunan Sumber Manusia.

Berita Harian X