Rabu, 11 Januari 2017 | 11:46pm

Trafik penumpang udara dunia naik pada November 2016


Alexandre de Juniac.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Trafik penumpang udara dunia pada November 2016 mencatatkan pertumbuhan permintaan paling kukuh dalam tempoh sembilan bulan berikutan jumlah hasil penumpang mengikut kilometer (RPK) meningkat 7.6 peratus.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam kenyataan di sini, hari ini, kapasiti naik 6.5 peratus dan faktor muatan meningkat 0.8 mata peratusan kepada 78.9 peratus.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, berkata permintaan yang kukuh bagi perjalanan udara menyokong peningkatan dalam kitaran ekonomi global.

"Memandangkan kesan daripada harga minyak rendah semakin merosot, pengukuhan kitaran ekonomi akan memainkan peranan penting dalam kadar pertumbuhan permintaan pada 2017," katanya.

de Juniac berkata, industri penerbangan terus mencatatkan keputusan yang kukuh.

"Penumpang mendapat manfaat daripada kejayaan industri. Perjalanan tidak pernah menjadi lebih mudah -- dengan kadar tambang yang baik, banyak pilihan dan lebih banyak destinasi," katanya.

Beliau berkata, industri akan menyaksikan satu lagi tahun yang kukuh daripada segi keuntungan bersama bagi syarikat penerbangan pada 2017.

"Bagaimanapun, industri perlu peka," katanya.

IATA berkata, permintaan penumpang antarabangsa pada November meningkat lapan peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu, dengan syarikat penerbangan di semua rantau menunjukkan pertumbuhan.

Bagi segmen ini, syarikat penerbangan Timur Tengah meningkat 12.2 peratus daripada segi permintaan pada November, iaitu peningkatan tertinggi antara rantau, katanya.

Permintaan perjalanan domestik naik 7.1 peratus tahun ke tahun pada November 2016, bagaimanapun keputusan berbeza, dengan China, India dan Russia menunjukkan

pertumbuhan dua angka manakala permintaan merosot di Brazil dan Jepun, menurut IATA.

- BERNAMA

dibaca
Berita Harian X