Khamis, 12 Januari 2017 | 12:00am

Negara ASEAN terus gamit pelancong seluruh dunia


KELAZATAN makanan, pantai indah dan kebudayaan antara tarikan utama. - Gambar hiasan

TIDAK dinafikan antara tarikan pelancongan di ASEAN yang kini menjadi destinasi popular dunia ada kaitan dengan cuaca tropika serta sifat mesra penduduk daripada 10 negara di sini.

Tambahan kelazatan makanan, pantai indah, kekayaan budaya serta harga murah turut menjadi sebab berjuta-juta pengunjung hadir mencari kepuasan bercuti bersama keluarga atau pun secara berkumpulan.

Walaupun sejarah dan politik era moden adalah sesuatu yang masih kompleks, kebanyakan destinasi kunjungan di sini boleh ditakrif selamat dan mudah bagi pengembaraan pelancong seluruh global, khususnya dari Eropah, Australia dan Amerika.

Semua usaha itu membuahkan hasil dengan ASEAN kekal menjadi tarikan pelancong dalam dan antarabangsa dengan aliran positif dalam bilangan pelancong dan pendapatan.

Namun ada kelemahan perlu diperbaiki terutama dari segi infrastruktur, perkhidmatan darat, udara dan air, kecuali Singapura.

Ia menyebabkan kedudukan rantau ini terjejas, menjadikan rantau itu kurang berdaya saing dalam pelancongan.

Pulau Perhentian, Pulau Tioman dan Langkawi di Malaysia; Phuket dan Koh Samui di Thailand dan Bali di Indonesia - adalah antara segelintir pusat percutian yang meletakkan nama ASEAN di mata dunia.

Ia kerap dikunjungi dan dilawati bukan saja pelancong domestik tetapi tetamu luar kerana menghidangkan keindahan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Laporan menyatakan sektor pelancongan kekal menjadi penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan KDNK di ASEAN.

Ia merangkumi 12.4 peratus daripada KDNK ASEAN pada 2015, menurut Majlis Pelancongan dan Percutian Dunia, berbanding purata 8.5 peratus di Asia Pasifik dan 9.8 peratus secara global.

Berikutan itu Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) diwujudkan bagi menyasarkan usaha menggalakkan pelancongan mencapai 15 peratus KDNK rantau itu menjelang 2025, dan merangkumi tujuh peratus daripada keseluruhan pekerjaan, berbanding 3.7 peratus ketika ini.

Thailand, kekal menjadi tarikan pelancongan di ASEAN. Pelancongan, secara langsung dan tidak langsung merangkumi lebih 20 peratus KDNK Thailand pada 2015, menyaksikan peningkatan 20 peratus secara tahunan dalam ketibaan pelancong luar kepada kira-kira 30 juta.

Pada suku pertama 2016, ketibaan antarabangsa meningkat lebih 15 peratus, memberikan satu lagi tahun kukuh kepada pelancongan negara itu.

Dalam jangka panjang, kekuatan Thailand sebagai pusat pelancongan dengan tarikan pelbagai budaya, sokongan kuat kerajaan, bermakna ia akan terus menyinar sebagai destinasi pelancongan utama.

Malaysia, pada 2014 merekodkan kedatangan 27,437,315 pelancong, menjana pendapatan AS$16.69 bilion (RM75 bilion).

Malaysia juga secara konsisten menjadi antara negara penyumbang utama ketibaan pelancong ke ASEAN, dengan separuh daripadanya dari Singapura.

Sementara Thailand pula, kebanyakan pelancong luar datang dari luar Asia Tenggara, terutama China. Namun tidak bermakna negara ASEAN lain akan pudar kerana masih ada ruang untuk seluruh rantau berkenaan.

Dengan pengecualian kepada Myanmar dan Brunei, pelancongan merangkumi 10 peratus atau lebih daripada keseluruhan KDNK bagi negara ASEAN lain.

Indonesia, Malaysia miliki peluang baik

Negara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina masih punya banyak peluang meningkatkan sumbangan pelancongan kepada ekonomi masing-masing. Ia sama ada melonggarkan syarat visa dan menerusi sokongan, promosi serta infrastruktur bagi pelancongan di negara masing-masing.

Sementara Singapura terus membuat inovasi, terutama tarikan baru untuk mengekalkan sektor pelancongannya.

Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) turut memperbaiki infrastruktur untuk menghasilkan hubungan lebih baik antara negara anggota dan negara Asia lain yang berkongsi sempadan bagi pelancong meneroka rantau itu dengan lebih selesa.

Analisis juga menunjukkan kelemahan terbesar Singapura adalah dari segi perbandingan harga, yang perlu diteliti.

Bagi lebih berdaya saing, ASEAN boleh memudahkan perjalanan dengan mewujudkan lebih banyak penerbangan tambang murah ke Asia Tenggara.

Sebagai contoh, sejak 19 Disember 2015, satu lagi penerbangan tambang murah, Eurowings, menawarkan penerbangan langsung dari Eropah dan Asia Tenggara.

Ia adalah pesawat bajet kedua melancarkan penerbangan Asia Tenggara selepas Norway mula menghubungkan bandar raya Scandinavia dengan Bangkok pada 2013.

Langkah lain yang boleh dipertimbangkan adalah pelaksanaan visa biasa ASEAN dan pengecualian visa bagi negara tertentu.

Dasar pengecualian visa pelancongan yang dilancarkan Indonesia kini merangkumi rakyat 45 negara, memberikan kesan kedatangan positif pelancong ke Bali.

dibaca
Berita Harian X