Khamis, 12 Januari 2017 | 12:01am

Ruhainies 'kantoi' bersama pelakon baharu

WALAUPUN usia pembabitannya di bidang seni baru setahun jagung, sudah acap kali kontroversi menjerat pelakon yang dikenali ramai sebagai Ruhainies ini.

Daripada isu 'pergaduhannya' bersama seorang lagi pelakon muda, Janna Nick, episod dirinya dikatakan keluar bersama suami Adira, Datuk Red, sehinggalah kepada kisah cinta lokasi bersama Azrel Ismail, banyak juga cerita panas yang melingkari si manis ini, tahun lalu.

Terkini, Ruhainies, 24, dikatakan sekali lagi terjebak cinta lokasi apabila dirinya 'kantoi' setelah dilihat keluar bersama pelakon baharu, Asyraf Aley, 22, di sebuah pusat beli-belah. Kedua-duanya berlakon bersama dalam drama Jejak Karmila yang mula ditayangkan menerusi TV3, 11 Januari lalu.

Bahkan, ketika disatukan dalam sesi fotografi baru-baru ini, kemesraan jelas kelihatan antara mereka. Begitupun, mungkin drama arahan Murali Abdullah terbitan Zeel Production itu sendiri membuatkan masing-masing sudah selesa beraksi bersama di depan kamera, apatah lagi apabila banyak babak membabitkan kedua-duanya dalam naskhah terbabit.

Persoalannya, apakah wujud cinta lokasi antara dua pelakon ini?


BABAK Ruhainies dan Asyraf dalam drama Jejak Karmila.


RUHAINIES dan Asyraf Aley bintangi drama terbitan Zeel Production, Jejak Karmila.

"Asyraf banyak mengingatkan saya kepada diri sendiri sekitar setahun lalu, ketika mula-mula membabitkan diri dalam bidang ini. Saya masih hijau dan perasaan malu juga menebal tatkala berlakon dengan pelakon lebih berpengalaman.

"Jadi, saya cuba memecahkan perasaan bercampur-baur itu supaya kerja lakonan di depan kamera dapat disampaikan dengan mudah, mengikut kehendak pengarah.

"Kebetulan, banyak babak membabitkan saya dengan dirinya dalam Jejak Karmila. Demi mencari keserasian, perasaan janggal dan malu-malu itu perlu dihakis. Dia pun senang untuk menerima pandangan dan bercampur, justeru proses mencari keserasian menjadi lebih mudah. Kami juga boleh 'ngam' dan keluar melepak bersama dengan kawan lain," kata Ruhainies.

Namun, kata pelakon berbakat ini, kemesraan yang terjalin antara mereka tidak lebih daripada rakan seperjuangan dalam bidang seni.

"Perasan cinta itu hanyalah dalam drama. Lebih-lebih daripada itu memang tak ada," tegasnya, seakan-akan mahu menepis persoalan mengenai cinta lokasi.


BABAK Ruhainies dan Asyraf dalam drama Jejak Karmila.

Malah katanya, soal cinta bukanlah keperluan utamanya sekarang, lebih-lebih lagi mengenangkan jadual kerja seninya yang begitu padat, bermula sejak 2016 sampailah pertengahan tahun ini.

Begitupun hakikatnya, apabila bergelar insan seni popular berwajah cantik, bukan sekadar rakan pelakon yang dikatakan cuba mendekati, malah golongan VIP turut 'mengintai' peluang mendekati Ruhainies.

"Masa untuk diri sendiri pun tak ada, jadi macam mana saya hendak bercinta? Ia sesuatu yang agak mustahil. Namun, saya tidak menolak lumrah untuk disayangi dan mencintai. Cuma sekarang bukan masanya lagi.

"Saya mahu membahagiakan orang tua terlebih dulu. Kalau boleh, saya hendak belikan rumah untuk ibu bapa dan selepas impian itu jadi kenyataan, barulah saya fikirkan soal kahwin.


ARTIS Ruhainies dengan gaya pose tersendirinya ketika majlis harijadinya yang ke-24 di restoran Florance Terrance, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan


RUHAINIES dan Asyraf bersama Azri Iskandar.

"Pada masa sama, saya mahu mengukuhkan posisi di dunia seni. Saya tidak mahu menjadi pelakon yang sama saja setiap kali muncul di kaca TV. Saya ingin membuktikan kepada semua orang, saya boleh melakonkan apa saja watak yang diberi," kata pelakon Cikgu Dina Pakai Prada itu.

Ruhainies yang mula dikenali menerusi drama Hello Mr Perfect hingga dinobatkan sebagai pemenang kategori Antagonis Pilihan, Drama Festival Kuala Lumpur 2016 juga berhasrat memberikan tumpuan kepada dunia perniagaan, tahun ini, selain bidang lakonan yang menjadi minat utamanya itu.

"Saya sudah pun menjalankan perniagaan kecantikan berasaskan kolagen di bawah jenama Ruhainies Rosy Secret. Cuma, dek sibuk berlakon, saya banyak menyerahkan urusan itu kepada rakan kongsi," katanya yang turut bergelar duta produk rawatan masalah kantung mata, Ameena.


RUHAINIES bersama pelakon dan pengarah drama Jejak Karmila, Murali Abdullah (tengah).

Sementara itu, Asyraf menyifatkan Ruhainies sebagai rakan pelakon yang sangat peramah.

"Hari pertama penggambaran, dia sudah pun menegur saya. Jadi, sifat ramahnya itu membuatkan saya jadi selesa. Keserasian antara kami juga wujud kerana banyak babak bersama.

"Bagi mengelakkan saya rasa terasing dan terpinggir, saya ditariknya sekali untuk bercampur dengan pelakon dan kru lain. Keselesaan itu buat kami jadi lebih rapat hingga ke tahap boleh keluar lepak bersama-sama.

"Bagaimanapun, bab cinta lokasi itu memang tak wujud pun. Saya percaya, masing-masing mempunyai garis profesional yang perlu dihormati ketika bekerja. Saya masih baharu dalam dunia seni ini, jadi seharusnya peluang dan kesempatan yang diberi dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.

PELAKON, Azrel Ismail dan Ruhainies. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Ruhainies pada sesi fotografi sempena majlis sambutan Aidilfitri Media Prima Berhad 2016 di Balai Berita. - Foto NSTP/Munira Abdul Ghani
PELAKON, Ruhainies pada Prebiu Media Syukur Selalu Syawal TV3 dan TV9 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee
PELAKON, Ruhainies pada majlis pelancaran produk Royal Glow dan pengumuman duta IDEALYST yang diadakan di Talent Lounge, Damansara Perdana. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X