Khamis, 12 Januari 2017 | 12:02am

Pantai Johor Timur tarikan peluncur ombak tempatan, luar negara

KOTA TINGGI: Ramai tidak menyedari beberapa pantai di kawasan Johor Timur kini menjadi tumpuan bukan sahaja bagi peluncur ombak tempatan, malah dari Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah sekitar Pantai Desaru, Tanjung Sedili, Tanjung Balau dan Tanjung Lompat atau turut dikenali dengan gelaran 'Wild Boar' oleh penggiat sukan luncur ombak.

Tinjauan BH Plus di pantai Tanjung Balau mendapati ketinggian ombak mencecah sehingga empat meter dan sememangnya ia adalah 'nyawa' bagi penggemar sukan luncur ombak.

Situasi sedemikian tiba apabila fenomena Monsun Timur Laut yang kebiasaannya bermula akhir tahun iaitu sekitar November dan berlanjutan sehingga Februari atau Mac pada tahun berikutnya.

Bagi penggiat sukan luncur ombak, Abu Bakar Abd Manaf, 38, pantai di sini terutama Tanjung Lompat menjadi tumpuan ramai peluncur ombak terutama dari Singapura selain Indonesia, Jepun dan Korea.

Beliau yang turut dikenali dengan gelaran Lala Loco oleh komuniti peluncur tempatan berkata, keadaan itu bertambah meriah terutama pada hujung minggu dan boleh dikatakan pantai itu seolah-olah 'ditawan' apabila penggemar sukan luncur ombak bertumpu di situ.


AHLI kelab Balau Surf School sedang belatih bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin


DARI kiri; Mohd Alif Haikal Jasni bersama Abu Bakar Abd Manaf, Mohammad Azman Mohamad Azmi dan rakan mereka selepas bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

"Di Johor, pantai Tanjung Lompat adalah yang terbaik dan digemari ramai penggemar sukan luncur ombak tidak kira dari dalam negara dan komuniti dari Singapura.

"Beberapa lagi lokasi turut menjadi tumpuan dan pernah berlangsungnya kejohanan tempatan dan antarabangsa adalah di Pantai Desaru dan Tanjung Sedili.

"Sememangnya pantai dan keadaan ombak di Tanjung Lompat serta beberapa lagi lokasi dapat memenuhi keinginan penggemar sukan luncur ombak, tetapi tidaklah sehebat pantai di Amerika Syarikat dan Bali di Indonesia," katanya ketika ditemui di sini.

Abu Bakar yang juga pengasas terawal komuniti luncur ombak di Tanjung Balau di sini, berkata perkara paling utama yang menjadi kesesuaian sesuatu kawasan pantai itu untuk dijadikan 'port' bagi penggemar sukan luncur ombak adalah keadaan ombak dan bukannya tiupan angin.

"Paling penting adalah ketinggian ombak. Jika tiada angin bertiup lagi bagus dan memudahkan peluncur menguasai papan luncur," katanya.


PELUNCUR ombak, Mohd Alif Haikal Jasni (kanan) bersama Abu Bakar Abd Manaf (dua dari kanan dan Mohammad Azman Mohamad Azmi (kiri) selepas bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin


PELUNCUR ombak, Abu Bakar Abd Manaf. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Seorang lagi penggemar sukan luncur ombak, Mohammad Azman Mohamad Azmi, 26, berkata lokasi pantai di kawasan ini seharusnya dijadikan kekuatan industri pelancongan yang mampu menarik pelancong, terutama penggiat sukan berkenaan.

"Sudah tiba masa beberapa pantai di sini dipromosikan supaya lebih dikenali bukan sahaja dalam kalangan penggemar sukan luncur ombak tempatan, malah menarik lebih ramai komuniti seluruh dunia untuk datang ke sini.

"Berdasarkan pengalaman saya bermain luncur ombak di sini (Tanjung Balau dan Tanjung Lompat), saya pernah bertemu peluncur dari Perancis, Jepun, Korea dan Singapura," katanya.

Mohammad Azman berharap kerajaan negeri dapat menilai semula lokasi pantai di kawasan itu dan menyalurkan peruntukan bersesuaian untuk membangunkan sukan luncur ombak yang kini semakin mendapat sambutan.


ABU Bakar Abd Manaf sedang bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

INFO:

  • Komuniti luncur ombak Tanjung Balau diasaskan sekitar tahun 1994.

  • Tanjung Lompat terletak kira-kira 5 kilometer (10 minit) dari pantai Tanjung Balau, Desaru.

  • Peluncur ombak Perancis, Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea gemar ke kawasan ini.
dibaca
MOHD Alif Haikal Jasni (tengah) bersama Abu Bakar Abd Manaf (kanan) dan Mohammad Azman Mohamad Azmi (kiri) menunjukkan papan lucur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Berita Harian X