Khamis, 12 Januari 2017 | 12:03am

Hukum menjemput kumpulan marhaban wanita


AMALAN marhaban sudah menjadi kebiasaan di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. - Gambar hiasan

SOALAN: Apakah pandangan Islam mengenai hukum menjemput kumpulan marhaban wanita mengalunkan selawat dan qasidah dalam majlis aqiqah atau sebagainya?

Jawapan: Amalan marhaban sudah menjadi kebiasaan di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Adat resam dalam Islam terbahagi kepada dua, pertama ialah adat yang ditolak oleh Islam kerana bercanggah dengan kehendak al-Quran serta al-Sunnah.

Kedua, adat bertepatan kehendak syariat Islam dan pengamalannya juga dibenarkan syarak dengan syarat tidak melampaui batas seperti berselawat ke atas bayi baharu lahir atau mengalunkan selawat beramai-ramai sama ada kumpulan lelaki atau wanita dalam majlis aqiqah.

Namun, amalan itu mesti menepati beberapa syarat seperti dilakukan oleh golongan lelaki manakala wanita makruh berbuat demikian di hadapan lelaki kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah lebih besar dan memudaratkan banyak pihak.

Asas hukum ini ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu melenggokkan suara kamu (wanita) ketika berkata-kata kerana ia akan menyebabkan golongan (lelaki) yang mempunyai penyakit hati berminat kepada kamu (fitnah), bercakaplah dengan kata-kata yang mulia (yang tidak menimbulkan fitnah)." (Surah al-Ahzab, ayat 32)

Menurut al-Qurtubi dan al-Ghazali, ayat itu membuktikan suara wanita tidak menjadi aurat (haram didengari) jika mereka hanya bercakap dengan nada biasa dan selamat daripada fitnah. Manakala suara dialunkan dengan nada lembut serta menggoda, maka hukumnya haram.

Oleh itu, disarankan kumpulan marhaban wanita mengalunkan qasidah, nasyid atau selawat ketika ketiadaan lelaki supaya tidak terjebak perkara diharamkan Islam.

Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X