Khamis, 12 Januari 2017 | 12:04am

Amelia Shafinaz usahawan produk kucing berjaya

PERMINTAAN tinggi dan keterujaan peminat kucing terhadap aspek penjagaan haiwan peliharaan mereka itu, mendorong Amelia Shafinaz Abu Bakar, 27, menjalankan bisnes menjual produk kucing dinamakan Amycatz bersama suami, Aniq Akhmal Abu Naip, 27.

Biarpun kedua-dua mereka memiliki ijazah sarjana muda dalam kursus kejuruteraan dari universiti awam yang cukup berbeza dengan bidang perniagaan dipilih, itu tidak menghalang tekad pasangan muda terbabit untuk bergelar usahawan produk kucing.

Amelia Shafinaz berkata, berbekalkan hobi sendiri memelihara kucing dan masa depan cerah bidang itu, mereka yakin untuk memulakan perniagaan terbabit pada Oktober 2015 dengan perkongsian kos kewangan sendiri.

"Masyarakat kini terlalu ramai yang meminati kucing dan memilihnya sebagai haiwan peliharaan. Kecomelan dan sifat manja kucing membuatkan mereka terhibur untuk menjadikannya kawan, peneman atau membantu menghilangkan tekanan di rumah.

"Keadaan ini memberi ruang dan peluang kepada kami untuk membuka bisnes produk kucing bukan sahaja untuk memenuhi minat kami terhadap haiwan terbabit, tetapi berkongsi pengalaman serta membekalkan perkhidmatan berkaitan," kata graduan Universiti Malaya (UM) itu.

Amelia Shafinaz berkata, mereka yakin pilihan sebagai usahawan tidak merugikan kerana pada masa sama, ilmu diperoleh ketika bergelar mahasiswa boleh dimanfaatkan sebagai pengetahuan tambahan, manakala bidang perniagaan membantu mereka berkongsi minat serta servis dengan masyarakat.


AMELIA Shafinaz dan Aniq Akhmal bersama kucing peliharaan mereka. - Foto Mahzir Mat Isa


AMELIA Shafinaz dan Aniq Akhmal di depan kedainya, Amycatz. - Foto Mahzir Mat Isa

Kepuasan kepada pelanggan

Beliau berkata, yang paling penting, individu yang ingin menceburi dunia perniagaan harus menimba sebanyak mungkin ilmu sebelum dan semasa menjalankan perniagaan, bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan memberi kepuasan kepada pelanggan.

Sebelum memulakan perniagaan Amycatz, katanya, beliau dan suami mengambil tempoh setahun untuk melakukan kajian, persediaan dan mengukuhkan pengetahuan asas mengenai keperluan kucing.

"Kami perlu banyak membaca dan melakukan kajian sendiri kerana kucing berbeza dari segi fizikal, kesihatan, makanan, jenis keperluan vitamin, sifat serta kelakuan.

"Kami bukan sahaja menawarkan pelbagai produk fizikal kucing, termasuk menjual makanan, barangan kecantikan, makanan tambahan, aksesori, permainan, sangkar dan pasir khas, tetapi turut memberi khidmat nasihat, perundingan pembelian mengikut bajet pelanggan serta tunjuk ajar kepada pemiliknya," katanya.

Berkongsi cabaran dihadapi dalam bisnes, Amelia Shafinaz berkata, kepuasan pelanggan dan persaingan daripada pengusaha bidang sama sering menjadi elemen 'dibimbangi', namun pada masa sama mereka melihat perkara itu secara sihat sebagai penggalak semangat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Katanya, adalah menjadi prinsip Amycatz untuk terus mengutamakan layanan terbaik kepada pelanggan bagi memastikan perkhidmatan, produk dan setiap sen dikeluarkan pelanggan memberi nilai kepada duit yang dibelanjakan.


AMELIA Shafinaz dan Aniq Akhmal menyusun produk makanan kucing di Amycatz. - Foto Mahzir Mat Isa


PEMILIK AmyCatz, Amelia Shafinaz Abu Bakar pada sesi temuramah di Mutiara Damansara. - Foto Mahzir Mat Isa

Beri layanan terbaik

Keistimewaan bisnes yang bertapak di Mutiara Damansara dan boleh dilayari melalui laman facebook Amycatz serta instagram amycatz_m itu, kata Amerlia Shafinaz adalah konsep 'mesra kucing' dengan mereka membiarkan beberapa ekor kucing daripada baka berbeza bermain di dalam kedai dan memberi peluang kepada pelanggan mendekatinya.

Katanya, cara itu mampu menarik pelanggan berulang, termasuk dari luar Lembah Klang untuk membeli produk di situ, malah ada individu yang sanggup menghabiskan masa lama di kedai untuk bermesra bersama kucing terbabit sebagai terapi menghilangkan tekanan.

Ditanya kelebihan perniagaan, Amelia Shafinaz berkata, biarpun pembabitan sebagai usahawan memerlukan pengorbanan usaha dan masa yang tinggi untuk memastikan kejayaan bisnes, bidang itu mampu mendidik diri menjadi lebih berdisiplin, menggalakkan idea, membantu pengurusan masa secara sistematik, waktu kerja lebih fleksibel dan keuntungan tambahan.

"Bila kita mampu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, perkara itu memberi kepuasan mendalam. Rasa seronok apabila pelanggan memuji dan berulang ke kedai, selain mereka berpuas hati dengan saranan diberikan kami untuk penjagaan kucing.

"Namun, kita usah hanya fikir keuntungan semata-mata kerana apa yang lebih penting, beri perkhidmatan dan layanan terbaik kepada pelanggan supaya mereka terus berurusan dengan kita," katanya.


AMELIA Shafinaz dan Aniq Akhmal memberi makan kepada kucing peliharaan mereka, Elsa, Luna, Bonni dan Mockie. - Foto Mahzir Mat Isa

Trivia

  • Amelia Shafinaz dan Aniq Akhmal memiliki 14 ekor kucing peliharaan.

  • Kucing paling besar bernama Oreo dengan berat hampir tujuh kilogram.

  • Di sebalik sifat penyayang terhadap kucing, mereka meminati aktiviti lasak seperti pendakian gunung dan melancong secara 'back packer'.

  • Lebih 100 orang pelanggan baharu ke kedai mereka.

  • Mengeluarkan kos sebanyak RM200,000 untuk memulakan bisnes Amycatz.

Info

  • Amycatz beroperasi dari jam 11 pagi-10.30 malam

  • Dibuka setiap hari.
AMELIA Shafinaz dan Aniq Akhmal bermain dengan kucing peliharaan mereka, Oreo. - Foto Mahzir Mat Isa
AMELIA Shafinaz dan Aniq Akhmal memasukkan kucing peliharaan mereka, Oreo di dalam bakul kucing. - Foto Mahzir Mat Isa
AMELIA Shafinaz dan Aniq Akhmal menyusun produk makanan kucing di Amycatz. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X