Jumaat, 13 Januari 2017 | 12:11am

Haikal 'guru' luncur ombak

Kota Tinggi: Seorang anak muda berusia 25 tahun bukan saja menggemari sukan luncur ombak dan menyertai pelbagai kejohanan tempatan serta antarabangsa, tetapi menjadikan minatnya itu untuk menambah mata pencarian.

Memiliki sijil kejurulatihan dari Bali, Indonesia, Mohd Alif Haikal Jasni, menggunakan kelebihan itu untuk menubuhkan Balau Surf School yang menyediakan perkhidmatan mengajar teknik dan kemahiran meluncur.

Mohd Alif Haikal berkata, beliau menubuhkan sekolah itu bagi memberi latihan kemahiran asas kepada penggemar sukan luncur ombak pada harga berpatutan.

Katanya, beliau mendapatkan sijil kejurulatihan dalam sukan itu di Bali kerana ia lokasi pilihan bagi penggemar dan komuniti yang aktif dalam sukan luncur ombak.

"Saya menghabiskan masa hampir sebulan berada di sana dengan melakukan pelbagai latihan bagi memperoleh sijil kejurulatihan dan kini diiktiraf serta layak melatih mereka yang mahu berjinak dalam sukan ini.


MOHD Alif Haikal Jasni bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin


PELUNCUR ombak, Mohd Alif Haikal Jasni (kiri) bersama bapanya Jasni dan adiknya Mohd Helmi Jasni (kanan) menunjukkan papan luncur di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Dapat sambutan penggemar luncur tempatan, luar negara

"Paling menggembirakan apabila penubuhan sekolah ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggemar luncur ombak tempatan dan luar negara seperti Singapura, Jepun serta Korea yang datang mendapatkan khidmat dan tunjuk ajar di sini," katanya kepada BH, di sini.

Mengenai kos setiap kelas di sekolah kendaliannya, Mohd Alif Haikal berkata, beliau hanya mengenakan bayaran RM50 sehari termasuk kos menyewa papan luncur yang turut disediakan sekolah itu.

"Saya komited menjalankan aktiviti ini dan berhasrat membangunkan sukan luncur ombak ini di peringkat tempatan sehingga mampu dikenali di mata dunia," katanya yang menceburi sukan luncur ombak sejak berusia 12 tahun.

Ditanya kos peralatan sukan luncur ombak, beliau mengakui perbelanjaan antara RM1,000 hingga RM2,000 diperlukan untuk memiliki kelengkapan bermain sukan ini.

"Biasanya papan luncur biasa yang baharu berharga sekitar RM1,000, tetapi produk lebih berkualiti boleh mencecah RM5,000 dengan aksesori termasuk sirip papan luncur, getah, pelapik dan tali pengikat kaki berharga kira-kira RM500," katanya.


MOHD Alif Haikal Jasni bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

70 dibaca
PELUNCUR ombak, Mohd Alif Haikal Jasni (tengah) bersama Abu Bakar Abd Manaf (kanan) dan Mohammad Azman Mohamad Azmi (kiri) selepas bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PELUNCUR ombak, Mohd Alif Haikal Jasni (tiga dari kanan) bergambar dengan ahli Balau Surf School di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PELUNCUR ombak, (dari kiri) Mohd Alif Haikal Jasni bersama Abu Bakar Abd Manaf, Mohammad Azman Mohamad Azmi selepas bermain sukan luncur ombak di pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PELUNCUR ombak, Mohd Alif Haikal Jasni memiliki sijil jurulatih dari Bali, Indonesia. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »