Rabu, 6 Ogos 2014 | 4:03pm

RAM Ratings naikkan penarafan jangka panjang Media Prima

KUALA LUMPUR: RAM Rating menaikkan Penarafan Kredit Korporat (CCR) jangka panjang Media Prima Bhd dan nota pinjaman CP/MTN RM500 juta (2012/2019) daripada AA2 kepada AA1.

Serentak dengan itu, RAM Rating juga menyemak semula tinjauan penarafan daripada positif kepada stabil.

Dalam pada itu, firma penarafan itu juga mengesahkan penarafan jangka pendek kedua-dua CCR dan CP/MTN syarikat itu pada P1.

Ketua Penarafan Perindustrian dan Pengguna RAM, Kevin Lim, berkata kenaikan taraf penarafan jangka panjang Media Prima bersandarkan penambahbaikan prestasi kewangan syarikat itu ke paras yang sepadan dengan syarikat lain yang turut diberi penarafan AA1.

Kumpulan Media Prima berada dalam keadaan tunai bersih sejak hujung Disember 2013 walaupun prestasi operasi secara asasnya mendatar.

"Walaupun pelancaran Televisyen Digital Daratan (DTTB) dijangka memecahkan kumpulan penonton, kami berpendapat Media Prima mungkin tidak terjejas dengan ketara dalam tempoh jangka pendek dan sederhana dengan mengambil kira kekukuhan kedudukannya dalam sektor televisyen percuma (FTA)," kata Lim.

Kunci kira-kira kumpulan itu sentiasa bertambah baik, meletakkannya dalam keadaan tunai bersih pada hujung Disember 2013. Langkah perlindungan aliran tunai Media Prima mantap, yang mana Kumpulan itu menjana kira-kira RM300 juta dana daripada operasi (FFO) setiap tahun.

Keadaan itu bermakna purata liputan hutang FFO sebanyak 0.50 kali dalam tempoh empat tahun lepas.

Menuju ke hadapan liputan hutang FFO Media Prima dijangka kekal pada paras semasa kira-kira 0.5 kali.

"Kumpulan itu dijangka mengekalkan kedudukan tunai bersihnya manakala perbelanjaan modal (capex) dijangka dapat ditampung daripada dana dalaman," katanya.

Berita Harian X