Jumaat, 13 Januari 2017 | 4:12pm

Abang Johari angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak


TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tiba pada Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sarawak yang ke-6 di Astana Negeri, Kuching, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

PETRA JAYA: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, sebentar tadi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam, di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri.

Abang Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berusia 67 tahun adalah anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak pertama, Tun Abang Openg.

Abang Johari turut memegang jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Urbanisasi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

Abang Johari menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia 1.24 tengah hari Rabu kerana komplikasi jantung.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang lengkap berpakaian Baju Melayu hitam, mengangkat sumpah jawatan pada 4.10 petang.

Upacara itu disaksikan isteri beliau Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, anggota-anggota Kabinet negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan kakitangan kanan awam.

Abang Johari atau dikenali mesra dengan nama Abang Jo, adalah seorang daripada tiga Timbalan Ketua Menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Merupakan seorang ahli politik veteran, Abang Johari berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun dan ADUN Satok selama sembilan penggal.

Abang Johari yang berkelulusan ijazah pentadbiran perniagaan dari Universiti United Kingdom, pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri ini.

Allahyarham bapanya adalah Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

DATUK Abang Johari Abang Openg menandatangani watikah pelantikan Ketua Menteri Sarawak keenam selepas majlis angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri. - Foto BH Online
Berita Harian X