Jumaat, 13 Januari 2017 | 5:06pm

Satelit nano pertama dilancar tahun depan


TIMBALAN Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Prof Dr Abdul Rahman Mohamed bertukar memorandum persefahaman dengan Ketua Pengarah ANGKASA, Dr Noordin Ahmad di Bangunan Canselori USM di Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM), akan melancarkan satelit berskala nano pertama Malaysia, tahun hadapan.

Satelit dikenali sebagai Malaysian Youth Satellite (MySat) itu, dibangunkan dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) akan digunakan untuk tujuan mengkaji dan mengumpul data di lapisan ionosfera.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Prof Dr Abdul Rahman Mohamed, berkata data yang diperoleh itu membolehkan saintis tempatan meramal kejadian gempa bumi dan tsunami.

Beliau berkata, data saintifik itu mampu diperoleh dalam tempoh antara tiga minggu hingga tiga bulan lebih awal, sebelum kejadian sebenar bencana alam berlaku.

"Pembinaan nano satelit ini dilakukan kumpulan 10 pelajar sejak setahun lalu membabitkan kos RM250,000.

"Ia dijangka mampu membuat ramalan bencana alam di kawasan sekitar Asia Tenggara termasuk di Indonesia, Thailand dan Filipina," katanya pada sidang media di Bangunan Canselori USM di sini, hari ini.

Difahamkan, satelit itu bakal dilancarkan ke orbit menggunakan kemudahan Agensi Explorasi Angkasa Jepun (JAXA) yang ketika ini mempunyai program penyelidikan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Terdahulu, Dr Abdul Rahman menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan ANGKASA yang diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Noordin Ahmad.

Berita Harian X