Jumaat, 13 Januari 2017 | 6:23pm

Selena Gomez, The Weeknd dilamun cinta

SELENA Gomez dan The Weeknd keluar makan malam di Santa Monica, semalam.

LOS ANGELES: Hubungan cinta antara Selena Gomez, 24, dan The Weeknd, 26, bukan lagi rahsia selepas paparazi merakamkan gambar mereka berkucupan selepas makan malam romantis di sebuah restoran mewah di Santa Monica tersebar, semalam.

Aksi intim kedua-dua penyanyi yang bersahabat sejak dipertemukan dalam persembahan sempena peragaan kempen Victoria Secret, dua tahun lalu itu, turut disaksikan ramai pemerhati.

"Mereka memasuki restoran Giorgio Baldi pada jam 9 malam dan duduk di ruang tersembunyi. Ada pelayan khas yang sentiasa keluar masuk sepanjang tiga jam mereka menikmati hidangan.

"Pasangan itu jugalah yang terakhir keluar. Selena kelihatan gembira dan dilamun cinta. Mereka berpelukan dan bercumbu, malah tangan Selena tidak lepas merangkul jejaka di sebelahnya.

"Ketika menunggu pemandu masing-masing, Selena pula seakan-akan tidak kisah banyak mata memandang. Bukan hanya mencium pipi, The Weeknd membalasnya dengan kucupan di bibir," kata saksi yang mendakwa mereka hadir secara berasingan.

Begitupun, walau datang dengan kereta berlainan, Selena dilihat memasuki kenderaan milik penyanyi lagu Starboy itu dan sumber mendakwa, mereka menuju ke kediaman si gadis.

Biarpun kedua-duanya belum mengeluarkan sebarang kenyataan, daripada keintiman ditonjolkan sudah jelas menunjukkan persahabatan mereka bertukar kepada hubungan cinta.

Sebelum ini, The Weeknd atau nama sebenarnya Abel Tesfaye menjalin kasih selama setahun setengah dengan model terkemuka, Bella Hadid, namun percintaan mereka putus pada November tahun lalu.

Selena pula yang baharu kembali daripada cuti selama tiga bulan disebabkan penyakit lupus ialah bekas kekasih Justin Bieber, tetapi percintaan yang dijalin sejak 2011 itu kerap dilanda episod pasang surut.

Sementara itu, sebaik saja berita dan keintiman mereka tersebar, bekas kekasih The Weeknd dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram Selena, yang dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu.

Terdahulu, walaupun sudah tiada apa-apa lagi perhubungan, mereka mendakwa masih berkawan baik kerana perpisahan itu hanya disebabkan kesibukan masing-masing dengan jadual kerja.

Berita Harian X