Sabtu, 14 Januari 2017 | 3:29pm

RM100 juta bantu syarikat bio

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Madius Tangau melawat gerai pameran ketika hadir pada majlis perasmian BCF di Karnival Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Perbadanan Bioekonomi) melancarkan Dana Pengkomersilan Bioteknologi 2.0 (BCF) berjumlah RM100 juta bagi membantu merancakkan pertumbuhan industri bio di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Madius Tangau, berkata dana dalam bentuk pinjaman mudah itu bertujuan membantu keperluan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat sedia ada berasaskan bio.

Selain memberi bantuan kewangan dan infrastruktur dana, katanya, inisiatif itu menggambarkan komitmen berterusan kerajaan dalam pembangunan sektor berkaitan bio.

"BCF menawarkan kadar faedah menarik serendah lima peratus selain 18 bulan tempoh penangguhan pembayaran balik.

"Kami menyasarkan 30 hingga 50 syarikat akan memanfaatkan dana ini pada tahun 2020," katanya ketika berucap merasmikan BCF di Karnival Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Perbadanan Bioekonomi, Tan Sri Zakri Abdul Hamid, berkata BCF menyediakan dua skim bagi menampung pelbagai keperluan syarikat berasaskan bio.

Beliau berkata, ia merangkumi Skim Perniagaan Rezeki yang menawarkan modal kerja bermula dari RM600,000 manakala lebih RM3 juta untuk Skim Pembangunan Bioekonomi dengan sekali permohonan.

Berita Harian X