Sabtu, 14 Januari 2017 | 5:25pm

Pelan perlindungan OKU pertama

PENGERUSI Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

KUALA LUMPUR: Nasib orang kurang upaya (OKU) terus terbela apabila Agrobank memperkenalkan pelan Agro Nurani iaitu perlindungan takaful pertama di negara ini.

Agrobank menjadi institusi perbankan pertama di Malaysia memperkenalkan skim itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, berkata skim khas untuk OKU berusia antara 16 hingga 65 tahun itu mengetengahkan pelbagai manfaat dan menyeluruh serendah RM55 setahun dengan perlindungan maksimum bernilai lebih RM42,000.

Beliau berkata, ia meliputi perlindungan kemalangan, kematian akibat kemalangan, kematian akibat penyakit biasa dan elaun tunai wad (akibat kemalangan).

Lebih istimewa, katanya, skim Agro Nurani turut menawarkan manfaat perbelanjaan pengebumian.

"Inisiatif terbaru Agrobank adalah memberi perkhidmatan kepada OKU seiring mandat kerajaan kepada bank ini, iaitu menyediakan kemudahan kewangan kepada golongan kurang mendapat perhatian serta memperluaskan rangkuman kewangan untuk golongan istimewa.

"OKU lazimnya kurang mendapat perlindungan insurans atau takaful kerana dianggap golongan berisiko tinggi terhadap kemalangan.

"Justeru, Agrobank memperkenalkan skim bersesuaian untuk golongan berkenaan," katanya berucap pada majlis pelancaran Pelan Perlindungan Diri Khas untuk OKU di sini, hari ini.

Detik bersejarah itu dilancarkan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Zabidi optimis skim berkenaan bakal mendapat sambutan lebih 15,000 pelanggan dengan premium keseluruhan bernilai RM1.2 juta pada tahun pertama pelancarannya.

Berita Harian X