Ahad, 15 Januari 2017 | 3:03am

Bonneville T120 ikon sepanjang zaman


REKA bentuk autentik dengan kehalusan kejuruteraan Triumph. - Foto Asyraf Hamzah

BONNEVILLE, model ikonik keluaran Triumph, memiliki sejarah yang panjang. Ia pada dasarnya adalah motosikal standard menampilkan enjin empat lejang berkembar selari dan dihasilkan dalam tiga generasi menerusi tiga pengeluaran yang berasingan.

Dua generasi pertama dikeluarkan Triumph Engineering di Meriden, West Midlands, England, masing-masing pada 1959 hingga 1983 dan 1985 hingga 1988.

Apabila Triumph Motorcycles yang berpangkalan di Hinckley, Leicestershire mengambilalih operasi Triumph Engineering pada 2001, ia mula menghasilkan versi baru yang terkini tetapi masih mengadaptasi siri asalnya.

Nama Bonneville berasal dari nama lokasi Bonneville Salt Flats yang terkenal, Utah, Amerika Syarikat di mana Triumph dan beberapa jenama motosikal lain bersaing memecahkan rekod kelajuan pada era 1960-an.

Pada minggu lalu BH Auto berkesempatan menunggang uji model klasik moden Bonneville T120 Black, sumbangan pengedar rasminya di Malaysia iaitu Fast Bikes Sdn Bhd. Versi ini dibawa masuk ke negara ini oleh Fast Bikes bersama tiga varian lain dalam keluarga Bonneville, iaitu Street Twin, Bonneville T120 dan Thruxton R, pada Mei tahun lalu.


KEHEBATAN model warisan sepanjang zaman Triumph. - Foto Asyraf Hamzah

PAPARAN maklumat mencukupi pada skrin LCD kecil. - Foto Asyraf Hamzah

Melihat secara dekat, T120 mencerminkan keunggulan motosikal keluaran Triumph yang sememangnya terserlah dari segi reka bentuk autentik berserta kehalusan dan perincian kejuruteraan dalam menghasilkan jentera beroda dua. Terdetik dalam hati, T120 pasti membangkitkan nostalgia era 1960-an kepada pemiliknya, ia seumpama kelahiran semula model warisan sepanjang zaman Triumph.

Sepanjang empat hari menunggang uji, penulis menunggang T120 setiap hari untuk ke tempat kerja serta perjalanan jarak sederhana Kuala Lumpur ke Ipoh dan Kuala Lumpur ke Seremban.

Kesimpulannya, di sebalik penampilan klasik, T120 dilengkapi teknologi terkini 'ride-by-wire' yang responsif dengan pilihan dua mod tunggangan, sistem kawalan cengkaman (TC) dan sistem brek cegah kunci (ABS), justeru mempertingkatkan kawalan pendikit, keselamatan dan membuat penunggangnya 'lebih menjiwai' tunggangannya.

Kelengkapan elektronik ini bergerak harmoni dengan enjin prestasi tinggi Bonneville 1200cc, sekali gus menyaksikan penghantaran kuasa pecutan yang segera dan mengagumkan.

Pada umumnya, enjin T120 adalah konfigurasi blok berkembar sebaris, penyejukkan cecair, aci-sesondol tunggal, lapan injap dengan aci engkol 270-darjah, dijana dengan campuran bahan api dan udara menerusi sistem pancitan bahan api pelbagai titik berturutan (multi-point sequential).


MODEL lagenda klasik moden. - Foto Asyraf Hamzah

EKZOS T120 hasilkan bunyi 'asli' enjin berkembar ikonik British yang mengasyikkan. - Foto Asyraf Hamzah

ENJIN dengan konfigurasi blok berkembar sebaris menghasilkan tork tinggi dan amat berkuasa. - Foto Asyraf Hamzah

Ia menghasilkan tork yang amat tinggi iaitu 105 Nm dan 79 hp pada rpm rendah 3100. Kuasa tinggi pada rpm rendah dapat dirasai secara menyeluruh dan semakin berganda pada rpm 4,500, justeru menjadikan T120 pantas menghenjut ke hadapan mendahului kenderaan lain daripada keadaan pegun mahupun ketika dalam kelajuan sederhana.

Turut menarik perhatian adalah ekzos T120 yang lurus dan ringkas, namun begitu menghasilkan bunyi 'asli' enjin berkembar ikonik British yang mengasyikkan, lantas mengangkat karektor klasiknya.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat Bonneville T120 adalah antara model yang segar dan wajar dipertimbangkan untuk dimiliki penggemar motosikal klasik. Ia adalah model santai retro dalam dunia yang moden.


BANGKITKAN nostalgia motosikal era 1960-an. - Foto Asyraf Hamzah

Spesifikasi:

Enjin: 1200cc SOHC blok berkembar penyejukan cecair 8 injap

Kuasa: 80 PS/ 79 Bhp (59 kW) @ 6550 rpm

Tork: 105 Nm @ 3100 rpm

Kotak gear: 6 kelajuan

Tayar: 100/90-18 (hadapan); 150/70 R17 (belakang)

Suspensi hadapan: KYB 41mm cartidge fork

Suspensi belakang: KYB berkembar boleh laras

Brek: Nissin 2-piston kaliper terapung, ABS

Berat kering: 224 kg

Kapasiti tangki: 14.5 liter

Penggunaan petrol: 4.5 liter/100 km

Harga: RM74,286.88 (selepas rebat RM3,000 yang akan berkuat kuasa sehingga 31 Mac 2017)


T120 bangkitkan nostalgia motosikal era 1960-an. - Foto Asyraf Hamzah

Berita Harian X