Ahad, 15 Januari 2017 | 6:57am

Melahirkan pengamal media profesional


FOTO hiasan.

KETIKA berucap pada malam Wartawan Malaysia 2016 di sebuah hotel di ibu negara pada 20 Mei 2016, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, disebabkan ledakan internet dan kelahiran jalur lebar berkelajuan tinggi, sesiapa sahaja boleh jadi 'pemberita' dan menerbitkan akhbar sendiri di ruang maya.

Soalnya apakah 'pemberita lahir semalam' ini mampu amal etika kewartawanan sepenuhnya seperti digariskan Kod Etika Kewartawanan Malaysia? (lihat lapan tugas utama wartawan yang disebutkan http://mpi.my/etika-kewartawanan-malaysia). Apakah dengan hanya memiliki blog sendiri, akaun Facebook atau Twitter, dan mengisinya dengan berita/cerita/komen/pandangannya setiap hari atau minggu, dia pengamal media bertanggungjawab, penuh kredibiliti dan beretika?

Zahid mengakui peranan wartawan dan media 'sebagai estet keempat negara iaitu penegur, pemantau dan pengawas perjalanan kerajaan dan institusi yang bernaung di bawahnya,' sambil mengingatkan 'kerja estet keempat' hendaklah secara berhemah dan tidak melanggar undang-undang negara.

Beliau berjanji jika benar ada undang-undang yang mengongkong kebebasan media, tidak sesuai lagi dengan perkembangan semasa dalam penyebaran maklumat - "Saya bersedia untuk mempertimbangkan pindaan atau pemansuhan akta itu."

Cuma, dalam tempoh lebih tujuh bulan sejak ucapan itu, apakah sudah ada pengamal media (atau pihak lain yang mewakili mereka) mengesyorkan pindaan atau pembaharuan mana-mana undang-undang berkaitan profesion media negara ini?

Saya sebut dua contoh bagaimana orang lain menyusun gerak kerja dengan matlamat mendapatkan persetujuan kerajaan meminda atau memperbaharui undang-undang yang ada kaitan dengan profesion mereka. Pertama, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Korporat (CLRC) untuk kaji kedudukan undang-undang syarikat negara selama lima dekad lalu. Selama lebih empat tahun, jawatankuasa ini melaksanakan kerjanya dan akhirnya mengemuka 188 perakuan pembaharuan kepada kerajaan.

Pada Jun 2010, Jemaah Menteri menerima sebahagian besar perakuan itu. Selepas itu, kerja penggubalan satu Akta Syarikat serba moden dimulakan. Tahun lalu, Parlimen meluluskan Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang memansuh dan menggantikan Akta Syarikat 1965.

Kedua, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) menjalankan kajian semakan Kanun Tanah Negara 1965 dengan kerjasama sepasukan pakar undang-undang tanah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2010. Pada Januari 2012, jabatan itu mengeluarkan dokumen awam 89 halaman bertajuk Review of the National Land Code 1965: Consultation Paper mengandungi pelbagai cadangan penambahbaikan dan pembaharuan. Akhirnya pada 2016 Parlimen meluluskan beberapa pindaan penting, kini terkandung dalam Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 (ringkasnya, Akta A1516).

Wujud jawatankuasa

Jika pengamal media di negara ini serius mahukan undang-undang media dimodenkan sejajar dengan perkembangan semasa, satu badan pengkaji atau jawatankuasa perlu diwujudkan agar kerja semakan dapat dijalankan dan cadangan boleh dilakukan dengan matlamat mendapat restu kerajaan. Selepas direstui secara formal kepada perakuan itu, kerja menggubal draf undang-undang yang hendak dimodenkan boleh dimulakan.

Ada banyak undang-undang mengawal atau menyentuh profesion media, lazimnya adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hakcipta 1987 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Mengatasi semua statut ini adalah Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin (walaupun secara tidak mutlak) kebebasan media.

Peranan media, secara tradisi, adalah menyampaikan maklumat atau berita, menghibur, mendidik, mengiklankan barangan dan perkhidmatan. Malangnya, disebabkan pengaruh pengkomersialan, iaitu elemen keuntungan diutamakan dan nilai atau etika kewartawanan dikorbankan, pengamal media di Britain pada satu ketika, hilang pedoman.

Skandal phone-hacking akhbar News of the World pada 2011 akhirnya menyebabkannya ditutup dan prosiding jenayah dimulakan apabila beberapa individu dihadapkan dengan pertuduhan perversion of justice. Tempiasnya, pada 2013, pemimpin parti politik di negara itu sebulat suara setuju mewujudkan satu sistem kawal-diri media melalui Royal Charter on Self-Regulation of the Press.

Pengamal media di negara ini kini masih lagi tercari-cari satu formula terbaik mengenai isu kawal-diri ini. Institut Akhbar Malaysia (MPI) sudah sekian lama menganjurkan program Zamalah Wartawan Muda, iaitu pengamal media baharu bertugas setahun dua dengan akhbar tempatan dan pelbagai agensi awam diberi pendedahan mengenai undang-undang media dan kod ketika kewartawanan. Usaha melahirkan pengamal media beretika masa depan ini perlu diteruskan.

Seorang sahabat pernah bertanya apakah bidang kewartawanan satu kerjaya seperti guaman, kejuruteraan, perubatan, perakaunan dan sebagainya? Saya tanya dia balik apakah warga media kita sudah melalui proses transformasi, iaitu kerjaya asalnya sebagai pemberita itu terus meningkat dan bertukar menjadi profesion berintegriti tinggi dan berkemampuan?

Proses ini menitikberatkan sistem kelayakan atau akreditasi diperakui, penubuhan satu badan atau majlis diberi kuasa memantau dan menyelia ahli profesion dan satu set peraturan atau mekanisme membezakan ahli daripada orang tidak layak menjadi ahli (dipanggil amatur).

Penubuhan profesion kewartawanan akan mengakibatkan orang lain dianggap amatur dan tidak layak (tidak dibenarkan) menggelar diri anggota profesion ini. Mungkin mustahil satu Akta Profesion Media akan digubal dan diluluskan dalam tempoh yang terdekat.

dibaca
Berita Harian X