Ahad, 15 Januari 2017 | 2:10pm

EPIC, CMC Engineering kongsi teknologi teroka projek ECRL

KUALA NERUS: Anak syarikat Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan CMC Engineering Sdn Bhd bagi meneroka peluang perniagaan membabitkan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), di Gong Badak, di sini, hari ini.

Pengerusi Kumpulan EPIC berhad, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, pendekatan itu adalah inisiatif pihaknya dalam mengembang dan mempelbagai cabang perniagaan bersempena pembinaan ECRL.

"Projek ECRL ini bukan sahaja memberi kesan yang begitu baik kepada sistem pengangkutan di Pantai Timur khususnya di negeri ini, malah manfaat lain juga boleh dirasai terutama dalam sektor pelancongan yang mana pertumbuhan pesat di bandar kecil sepanjang laluan projek itu akan berlaku.

"Sehubungan itu, EPIC bersama CMC Engineering Sdn Bhd berhasrat berkongsi teknologi dan kepakaran untuk menjadi pemain industri bagi merancakkan pelbagai sektor yang berkaitan, sekali gus terus memberi sokongan dan sumbangan terhadap pembangunan dan ekonomi di negeri ini," katanya pada majlis berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang menyaksikan majlis MoU yang diadakan di TH Hotel, Gong Badak, di sini.

Berita Harian X