Ahad, 15 Januari 2017 | 2:52pm

Cadangan kekal BR1M, bukti bukan rasuah

 AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan. Foto NSTP
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jika pembangkang berkuasa membuktikan bantuan yang dilaksanakan itu bukan rasuah seperti dituduhnya sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata walaupun tidak mahu mengiktiraf secara jelas, cadangan untuk mengekalkan BR1M sudah cukup membuktikan bantuan itu adalah satu program yang berkesan untuk membantu rakyat miskin.

Katanya, cadangan itu adalah bukti kesedaran pembangkang bahawa rakyat pelbagai kaum menerima baik BR1M.

"Pembangkang tahu mereka akan terkesan sekiranya tidak melaksanakan BR1M. Dengan kata lain, BR1M yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan berunsur rasuah.

"Jika rasuah, masakan Dr Mahathir mahu mengekalkannya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sohaimi berkata, sekiranya pembangkang mengakui kebaikan BR1M, tiada alasan untuk rakyat menukar kerajaan kerana apa yang dilaksanakan BN kini semuanya memberi manfaat kepada mereka.

"Dulu bukan main (didakwa) BR1M adalah rasuah, sekarang (Dr Mahathir) mahu BR1M dikekalkan pula. Memang betul kata Dr Mahathir bahawa memang Melayu mudah lupa," katanya.

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X