Ahad, 15 Januari 2017 | 5:23pm

Dua maut Myvi dirempuh berhampiran Plaza Tol Pagoh

DUA maut selepas dua kenderaan termasuk dengan pacuan empat roda bertembung dalam kejadian Persimpangan Plaza Tol Pagoh, Muar. - Foto Ihsan Bomba
DUA maut selepas dua kenderaan termasuk dengan pacuan empat roda bertembung dalam kejadian Persimpangan Plaza Tol Pagoh, Muar. - Foto Ihsan Bomba

MUAR: Dua maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Muar-Pagoh berhampiran Plaza Tol Pagoh di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa anggota badan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Azharizam Mookri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.26 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan kereta terbabit.

"Daripada maklumat saksi awam, kereta mangsa dipercayai baru sahaja keluar daripada Plaza Tol Pagoh sebelum dirempuh oleh sebuah Toyota Hilux yang datang dari arah Pagoh menuju ke Bandar Muar," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Azharizam berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk tindakan lanjut.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X