Isnin, 16 Januari 2017 | 7:48am

Monaco di takhta liga

PASUKAN Monaco meraikan kejayaan jaringan gol. - Foto AFP
PASUKAN Monaco meraikan kejayaan jaringan gol. - Foto AFP

PARIS: Monaco menerajui puncak Ligue 1 selepas menewaskan Marseille 4-1 di halaman sendiri awal pagi tadi tatkala kelab dari selatan itu menambah jaringan keseluruhan kepada 60 daripada 20 perlawanan liga.

Keputusan itu meletak Monaco mengungguli carta liga menerusi perbezaan jaringan berbanding Nice (45 mata) yang terikat 0-0 dengan pasukan tercorot Metz sehari sebelum itu.

Juara bertahan, Paris Saint Germain berada di tangga ketiga dengan 42 mata selepas menang tipis ke atas Rennes, Sabtu lalu. Lyon berada di tangga keempat dengan ketinggalan lapan mata PSG selepas tewas 3-2 di tangan Caen.

Thomas Lemar membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-16 sebelum Radamel Falcao menambah jaringan seterusnya buat pasukan, lima minit kemudian.

Tandukan Rolando Jorge membuka sedikit harapan buat tuan rumah menerusi jaringannya pada minit ke-29 namun Bernardo Silva kembali meletakkan Monaco kembali gah di hadapan.

Pemain tengah Monaco itu menyumbang jaringan kedua peribadinya pada minit ke-57 bagi menjamin kemenangan 4-1 buat pasukan di laman lawan.

"Kami layak untuk tiga mata ini dan empat jaringan dihasilkan kerana Marseille bermain dengan baik sekali," kata bintang Portugal, Silva.

"Kami perlu beraksi sebegini bagi memburu gelaran. Kami juga mahu pergi sejauh mungkin dalam Liga Juara-Juara," katanya yang bakal menjadi perhatian utama bagi pasukan Manchester City yang bakal ditemui pada aksi 16 terbaik. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X