Isnin, 16 Januari 2017 | 2:44pm

UMK agih makanan kepada mangsa banjir


NAIB Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed (lima dari kiri) bersama Pemangku Ketua UMNO bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz (empat kanan) bergambar kenangan setelah menyampaikan bantuan banjir kepada mangsa banjir pada misi bantuan banjir UMK dan Celcom Axiata Berhad di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Tumpat. - Foto Syamsi Suhaimi

TUMPAT: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengagihkan lebih 250 kit bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Simpangan, di sini, hari ini.

Bantuan diberi dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed, berkata 50 sukarelawan merangkumi penuntut universiti berkenaan turut menyertai misi bantuan.

"Misi yang digerakkan setiap kali bah melanda di negeri ini adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) membabitkan pelajar serta pensyarah universiti.

"Misi bermula hari ini membabitkan sukarelawan ke 20 sekolah terjejas bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Tumpat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Misi Bantuan Banjir Universiti Malaysia Kelantan (UMK) & Celcom Axiata Berhad di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mat Razi Mat Ail dan Pengarah Perhubungan Kerajaan, Pembangunan Vendor Axiata Berhad Saiful Bahrin Abdul Ghaffar.

Berita Harian X