Isnin, 16 Januari 2017 | 6:01pm

MASwings kurangkan frekuensi penerbangan mulai Februari

Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria ketika sidang media pelancaran promosi Tahun Baharu Cina MASwings di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: MASwings akan mengurangkan frekuensi penerbangannya di Sabah dan Sarawak antara tiga hingga lima peratus bagi memberi laluan kepada program penyelenggaraan dan penambahbaikan pesawat serta operasi, bermula bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria, berkata program itu perlu dilaksanakan memandangkan usia pesawat jenis ATR yang digunakan syarikat itu sudah menjangkau tujuh tahun dan perlu menjalani penyelenggaraan wajib.

Beliau bagaimanapun berkata, ia tidak memberi kesan menyeluruh kepada jadual penerbangan pesawat syarikat berkenaan kerana hanya membabitkan jadual penerbangan yang dikenal pasti sering mengalami kekurangan penumpang sahaja.

Pada masa sama, katanya, langkah itu dapat meningkatkan kapasiti penumpang yang menaiki pesawat MASwings kepada lebih 60 peratus berbanding kurang daripada itu ketika ini.

"Berdasarkan perancangan, tiga daripada 10 pesawat jenis ATR akan dihentikan operasi sementara untuk menjalani penyelenggaraan wajib dan kerja penambahbaikan dalaman. Kerja penyelenggaraan dilakukan di Subang.

"Langkah ini diambil bagi memastikan pesawat kita sentiasa dalam keadaan terbaik dari segi keselamatan, selain selesa kepada penumpang.

"Bagaimanapun, ia hanya membabitkan pesawat ATR, manakala pesawat jenis Twin Otter atau Viking tidak terbabit," katanya pada sidang media Promosi MASwings Prosperity Deals sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Komersial MASwings, Shauqi Ahmad dan Pengurus Jualan MASwings, Chali Awang.

Ketika ini, kekerapan penerbangan MASwings di Sabah dan Sarawak ialah 569 penerbangan seminggu dengan menggunakan 10 pesawat jenis ATR bagi sektor bandar utama dan enam pesawat jenis Twin Otter atau Viking bagi sektor pedalaman.

Aminuddin berkata, sejajar pelaksanaan program itu, pihaknya turut mengambil langkah mengurangkan masalah kelewatan dan pembatalan penerbangan yang disebabkan faktor teknikal.

"Ini berkait rapat dengan reputasi MASwings yang kita mahu perbaiki lagi demi kepentingan pelanggan yang sebelum ini berdepan masalah kelewatan dan pembatalan pesawat," katanya.

Sementara itu, MASwings menyasarkan kutipan RM1.5 juta menerusi penjualan 130,000 tempat duduk sepanjang Promosi MASwings Prosperity Deals sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula hari ini hingga 12 Februari depan.

Promosi penerbangan itu yang bermula 18 Januari hingga 31 Mac ditawarkan dengan harga serendah RM83 hingga RM147, dengan diskaun hingga 80 peratus berbanding harga biasa.

Berita Harian X