Selasa, 16 Disember 2014 | 2:23pm

Mamat Khalid bakal pentaskan teater muzikal Rock tahun depan

KUALA LUMPUR: Selepas muncul dengan filem Rock pada 2005 dan diikuti sekuel Rock OO pada 2013.

Difahamkan penggambaran Rock siri ketiga akan dilakukan pada tahun depan.

Malah pengarahnya Mamat Khalid juga akan mementaskan Rock dalam versi teater muzikal.

Ia akan dipentaskan di Istana Budaya. Hal itu disahkan sendiri Mamat ketika pratonton filem terbaru arahannya iaitu Rumah Pusaka Di Simpang Jalan diadakan semalam.

"Sidang media akan diadakan hujung bulan ini dan ia akan dipentaskan tahun depan. Nak tahu lanjut kenalah datang sidang media itu nanti ya," kata Mamat Khalid ringkas.

Mamat menjelaskan pelakon asal versi filem seperti Que Haidar, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim sudah mengesahkan pembabitan mereka untuk teater itu.

Sementara itu, filem terbaharu arahannya Rumah Pusaka Di Simpang Jalan bakal menjadi pembuka tayangan pada tahun baru ini. Filem ini diterbitkan Ariabella SdnBhd dan Enjit Semut Sdn Bhd dan dilakukan penggambarannya di Batu Gajah, Perak.

Ia mengangkat budaya amalan membela saka dulu kala untuk hidup berjaya atau mewah. Menurut Mamat, filem berkenaan diilhamkan menerusi dua buah filem klasik seram iaitu Pusaka Pontianak dan Murder By Death.

Malah seperti kebiasaan yang dialami produksi yang melakukan penggambaran cerita seram, produksi beliau turut diganggu dengan pelbagai bentuk gangguan makhluk halus ketika penggambaran diadakan di sebuah banglo lama itu.

"Kami sampai terpaksa panggil pelbagai jenis manusia untuk memberikan perlindungan kepada krew dan pelakon. Malah ada yang dipanggil itu belum panas punggung lagi di banglo berkenaan sudah cabut lari.

"Ada di antara krew dan pelakon tengok saya jadi dua orang di banglo berkenaan. Saya pun tengok ada di antara krew dan pelakon yang jadi berganda," katanya.

Bakal menjengah pawagam bermula 1 Januari 2015, filem ini dibintangi ramai pelakon antaranya Bell Ngasri, Pekin Ibrahim, Jihan Muse dan Syuk Balas.

Filem ini juga menyaksikan pelakon dan kru turut melabur bersama untuk menghasilkannya.

Berita Harian X