Selasa, 17 Januari 2017 | 12:14am

Lebih 100,000 pelarian Rohingya berlindung di Malaysia

KUALA LUMPUR: Konflik di wilayah Rakhine, Myanmar, ternyata membawa kesan negatif kepada Malaysia apabila statistik menunjukkan peningkatan hampir 200 peratus jumlah pelarian Rohingya berdaftar di negara ini, sejak lapan tahun lalu.

Statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) merekodkan 15,001 pelarian Rohingya berdaftar pada 2009, meningkat 100 peratus kepada 30,463 pada 2013, sebelum mencecah 54,856 pada Oktober 2016.

Lebih membimbangkan, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa jumlah pelarian etnik Rohingya di Malaysia sebenarnya melebihi 100,000 orang dengan separuh daripada mereka belum berdaftar sebagai pelarian sah menerusi UNHCR.

Keadaan itu disifatkan amat membimbangkan dan membawa kesan jangka panjang kepada Malaysia yang kini menjadi negara tumpuan bagi pelarian Rohingya yang lari daripada penindasan di Rakhine, barat Myanmar, sejak sekian lama.

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan, berkata Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menyatakan pendirian tegas kepada Myanmar supaya menyelesaikan konflik di wilayah Rakhine yang menyebabkan kebanjiran pelarian Rohingya ke negara jirannya.


PAKAR Geostrategis, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan mengenai isu pelarian Rohingya. - Foto NSTP/Yazit Razali

Katanya, peningkatan jumlah pelarian Rohingya berdaftar dengan UNHCR di Malaysia membuktikan konflik berkenaan semakin parah, membebankan dan menggugat kestabilan negara serantau.

"Kalau Kuala Lumpur tak suarakan bantahan kepada Myanmar, maksudnya kita yang akan menerima beban. (Etnik) Rohingya bukan melihat Malaysia sebagai negara transit tetapi negara tetap (untuk berlindung selagi konflik di Rakhine tidak selesai)," katanya kepada BH.

Data terkini UNHCR menunjukkan 150,669 pelarian dan pemohon suaka berdaftar di negara ini dengan 89 peratus atau 135,475 pelarian dari Myanmar. Daripada jumlah itu, 54,856 adalah pelarian Rohingya yang lari menyelamatkan diri dari wilayah Rakhine.

Konflik di wilayah itu memuncak pada penghujung 2012 apabila lebih 140,000 dilaporkan hilang tempat tinggal dengan 200 dilaporkan terbunuh selepas tercetus perbalahan kaum di antara etnik Rakhine Buddha dan etnik Rohingya beragama Islam.

Ia sekali lagi berbangkit Oktober tahun lalu selepas Tentera Myanmar dilaporkan menjalankan operasi berdarah di wilayah utara Rakhine di Maungdaw bersebelahan sempadan Myanmar-Bangladesh sehingga menyebabkan 30,000 melarikan diri ke negara jiran itu.


DUTA Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Mynmar, Tan Sri Syed Hamid Albar dan isteri Puan Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin beramah mesra dengan kanak-kanak pelarian Rohingya sempena forum 'The International Year of Solidarity With The Rohingyas 2017' di Institut Integriti, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Yazit Razali

Media antarabangsa yang memetik badan hak asasi manusia mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia, termasuk pembunuhan, rogol dan pembakaran rumah etnik Rohingya oleh pihak tentera yang dinafikan oleh Kerajaan Myanmar.

Azmi berkata, dalam hal ini, Malaysia tidak mampu lagi berdiam diri dan perlu menyuarakan pendirian tegasnya walaupun menyedari dasar ASEAN yang selama ini tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota pertubuhan 10 negara serantau itu.

"Ia isu dalaman Myanmar tetapi membebankan Malaysia sebagai sebuah negara dan anggota ASEAN," katanya merujuk kepada pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang meminta Myanmar menyelesaikan konflik di wilayah Rakhine.

Malaysia tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai pelarian kerana negara ini tidak menandatangani Konvensyen 1951 Berkaitan Orang Pelarian, bagaimanapun etnik beragama Islam itu diterima di Malaysia sebagai pendatang atas dasar kemanusiaan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Rohingya Sedunia (UWRO), Ghiyathudeen Maulana Abdul Salam mendakwa jumlah pelarian Rohingya di Malaysia sudah melebihi 100,000, termasuk mereka yang belum diterima sebagai pelarian oleh UNHCR.

"Ini kerana proses perakuan sebagai pelarian yang sah di bawah UNHCR mengambil masa yang amat lama," kata Ghiyathudden yang mengetuai UWRO iaitu gabungan 32 NGO berkaitan Rohingya di negara ini yang ditubuhkan sejak 2012.

*Ikuti laporan BH esok mengenai pengalaman pelarian Rohingya yang kini berlindung di Malaysia.

Fakta Nombor

- 54,856 pelarian Rohingya berdaftar UNHCR sehingga Oktober 2016.

- 135,475 pelarian dan pemohon suaka dari Myanmar berdaftar di Malaysia, termasuk etnik Rohingya, Chin, Muslim - Myanmar, etnik Rakhine dan lain-lain etnik.

- Lebih 100,000 pelarian Rohingya dikatakan berada di Malaysia sejak 1990-an.

PROJEK misi bantuan MAPIM kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.
PROJEK misi bantuan MAPIM kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.
GAMBAR fail pelarian Rohingya daripada Myanmar beratur untuk proses pendaftaran yang dilakukan oleh NGO. -NSTP/Farizul Hafiz Awang
GAMBAR fail, Presiden Kelab Putera Malaysia, Datuk Abdul Azeez beramal mesra dengan pelarian Rohingya yang menyambut kehadirannya di Kampung Attap, Kuala Lumpur. -NSTP/Hasriyasyah Sabudin
GAMBAR fail, klinik MERCY Malaysia di Kem IDP Khaung Du Kar di Sittwe yang menempatkan lebih 2,000 pelarian Rohingya di Wilayah Rakhine, Myanmar. Kelihatan doktor sukarelawan MERCY Malaysia sedang merawat pesakit yang juga pelarian Rohingya di Sittwe, Myanmar. - Foto Syed Azwan
Berita Harian X