Selasa, 17 Januari 2017 | 3:39pm

Tun M cuba tanam sifat kebencian - Salleh

DATUK Seri Salleh Said Keruak. -Foto Aswadi Alias
DATUK Seri Salleh Said Keruak. -Foto Aswadi Alias

PUTRAJAYA: Isu projek pembangunan Forest City di Johor Bahru sengaja dimainkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semata-mata untuk menanam sifat kebencian kepada kaum tertentu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata sebelum ini Dr Mahathir tidak pernah membangkitkan isu pelabur dari negara lain seperti Eropah, Jepun dan India yang sekian lama melabur di negara ini.

Katanya, apabila banyak pelabur China mula melabur di negara ini, ia seolah-olah menjadi satu kesalahan sehingga banyak isu dibangkitkan.

"Kenyataan yang dikeluarkan Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar) mengenai dakwaan Dr Mahathir itu sudah tentu ada fakta yang kukuh, malah isu pelabur China melabur di negara ini kita tidak dapat dielak kerana mereka (pelabur China) ada di serata dunia sekarang.

"Tujuan adanya pelabur ini hanyalah mahu membangunkan negara tertentu dengan beri peluang ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Jepun dalam bidang penerangan serta komunikasi di sini, hari ini.

Pada 6 Januari lalu, Dr Mahathir menulis di blog miliknya bahawa tanah di Johor Bahru sudah dijual kepada orang luar tanpa sekatan, dengan menjadikan projek Forest City yang dibangunkan oleh syarikat Country Garden Pacific View dari China sebagai contoh, di mana beribu-ribu unit rumah didakwa sudah dijual kepada pelabur China.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, Sultan Ibrahim dipetik sebagai bertitah bahawa Dr Mahathir sudah melampaui batasan apabila memutarbelitkan isu Forest City dengan mendakwa kira-kira 700,000 rakyat dari China akan terus tinggal di situ manakala banyak tanah sudah dijual kepada rakyat China.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X