Selasa, 17 Januari 2017 | 8:04pm

Keluarga mangsa sedih pencarian MH370 digantung

IPOH: Waris kepada tiga sekeluarga penumpang pesawat MH370 meluahkan rasa sedih dengan keputusan pihak berkuasa menggantung usaha pencarian pesawat berkenaan sehingga petunjuk baharu ditemui.

Waris berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, mereka menerima berita itu dengan berat hati kerana adiknya, Tan Ah Meng, 46, berada dalam pesawat itu bersama isterinya, Huang Hsiu Leng, 48, seorang rakyat Taiwan serta anak lelaki pasangan itu, Wei Chen, 19.

"Saya sudah tahu (keputusan menggantung pencarian MH370), pihak MAS (Penerbangan Malaysia) ada telefon beritahu, saya juga tahu melalui televisyen... kami sedih," katanya ketika ditemui BH di rumahnya di Kampung Khantan Baru, Chemor di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bahawa pencarian pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, digantung bermula semalam, sehingga petunjuk baharu ditemui.

Keputusan itu dipersetujui bersama oleh kerajaan Australia, Malaysia dan China.

Tan berkata, keluarganya terus berharap supaya pencarian MH370 bukan saja diteruskan, malah kawasan carian diperluaskan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X