Selasa, 17 Januari 2017 | 10:02pm

Ringgit stabil meskipun berdepan ketidaktentuan

BANK Negara Malaysia (BNM). - Foto Asyraf Hamzah
BANK Negara Malaysia (BNM). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Ringgit kembali diniagakan stabil dalam pasaran setelah berdepan ketidaktentuan ekoran perkembangan di Amerika Syarikat (AS) berikutan dasar kurang jelas pentadbiran Presiden baharunya Donald Trump.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) berkata, turun naik kadar pertukaran berkurang dengan purata pergerakan purata harian menurun kepada kira-kira 61 mata berbanding dengan purata 82 mata pada Disember lalu.

Ia berkata, perbezaan antara kadar belian dan jualan juga sudah mengecil dengan ketara kepada 20 mata pada Januari, seterusnya mengurangkan kos transaksi pertukaran asing.

"Paras ringgit boleh menjadi lebih stabil dengan pengimbangan semula yang berterusan antara permintaan dengan penawaran terhadap ringgit dan dengan berkurangnya kesan buruk dari pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF)," katanya dalam satu kenyataan mengenai Laporan Terkini Mengenai Pasaran Kewangan Malaysia.

FMC berkata, aktiviti dalam pasaran kewangan berjalan dengan baik dengan purata harian transaksi pasaran pertukaran asing tempatan berjumlah AS$9.2 bilion dalam semua jenis transaksi pertukaran asing.

Jumlah purata harian untuk transaksi pasaran semasa dan hadapan tempatan terutamanya bagi pasangan mata wang ringgit Malaysia (MYR) telah melebihi AS$2 bilion, sama dengan paras yang dicatatkan pada Disember 2016.

Nilai transaksi dalam pasaran NDF bagi ringgit terus menguncup, katanya.

Bagi sektor perdagangan, FMC berkata, transaksi pertukaran asing berhubung dengan eksport dan import barangan berjumlah AS$10.7 bilion dengan purata harian sebanyak AS$1.1 bilion diurusniagakan sepanjang tempoh dari 1 hingga 16 Januari 2017.

Ia berkata, peratusan penukaran hasil perolehan eksport terus meningkat.

Bagi sektor ekonomi secara amnya, FMC menjelaskan bahawa turun naik kadar pertukaran yang telah berkurang dan perbezaan semakin kecil antara kadar belian dan jualan yang mana mengurangkan kos transaksi penukaran.

"Interaksi dan hubungan yang berterusan dengan pihak berkepentingan, khususnya syarikat dan pengeksport oleh Bank Negara Malaysia berjaya mengurangkan bilangan pertanyaan yang diterima berhubung dengan inisiatif dan pelaksanaannya.

"Sejak pengumuman pelaksanaan langkah baharu ini, sebanyak 1,500 pertanyaan telah diterima dan 84 peratus daripadanya telah diberikan maklum balas. Baki pertanyaan akan diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

Bagi rangka kerja perlindungan nilai pengurus dana, dua lagi pengurus dana sudah mendaftar dengan Bank Negara sejak pengemaskinian terakhir dan jumlah aset di bawah pengurusan yang layak di bawah rangka kerja ini meningkat kepada RM44.4 bilion.

FMC berkata, bank pusat juga sudah mengadakan perbincangan dengan dua persatuan pasaran kewangan antarabangsa yang mewakili pengurus dana dan bank antarabangsa untuk memberikan penjelasan mengenai rangka kerja berkenaan.

Ia berkata, bank pusat itu juga akan memudahkan proses pendaftaran untuk ahli mereka menyertai pasaran kewangan dalam negeri.

"Bank Negara dan FMC akan terus memantau kemajuan dan maklum balas orang ramai berhubung dengan inisiatif ini serta membabitkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya.

"Ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur bagi memudahkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi," katanya.

INFO

* FMC adalah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada Mei 2016

* Ia terdiri daripada wakil Bank Negara, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.

* Pengerusi FMC ialah Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara.

* Matlamat FMC untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong

* Ia bertujuan bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa

Berita Harian X