Rabu, 18 Januari 2017 | 6:17pm

Ying Ying terkejut dipuji jurulatih

[email protected]


PEMAIN perseorangan negara Lee Ying Ying beraksi menentang pemain Indonesia Lyanny Alessandra Mainaky pada Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters di Stadium Tertutup Sibu hari ini.Ying Ying menang 21-11, 21-18. - Foto BERNAMA

SIBU: Pemain perseorangan wanita muda negara, Lee Ying Ying terkejut apabila dipuji jurulatihnya, Rony Agustinus, susulan kejayaan mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Malaysia Masters, hari ini.

Membuat penampilan pertama pada kejohanan Grand Prix (GP) Emas, Ying Ying bermula langkah kanan apabila menewaskan Lyanny Allesandra Mainaky 21-11, 21-18 dalam aksi pusingan pertama di Stadium Tertutup Sibu.

Naib juara remaja dunia 2015 itu mendedahkan dia tidak pernah mendapat pujian Rony yang terkenal dengan sikap tegas dan serius ketika melatih pemain, termasuk juara remaja dunia, Goh Jin Wei.

Namun, semuanya berubah selepas pemain ranking ke-73 dunia itu menempah tempat ke pusingan kedua.

"Setiap kali dia duduk di belakang ketika perlawanan, saya sebenarnya tertekan. Saya mahu buktikan kemampuan kepada jurulatih dan saya gembira kemenangan hari ini berjaya menarik perhatiannya.

"Dia memuji saya kerana menunjukkan peningkatan," kata Ying Ying. Kemenangan itu meningkatkan tahap keyakinannya menjelang aksi pusingan kedua menentang Hsu Ya Ching dari Taiwan, esok.

"Kemenangan ini memberi keyakinan kepada saya, tetapi selepas ini saya akan berdepan lawan lebih kuat. Apa pun, saya tetap teruja kerana ini adalah kejohanan pertama tahun ini dan saya gembira mara ke pusingan kedua. 

"Ya Ching seorang pemain berpengalaman, saya tidak menjangkakan kemenangan tetapi akan berikan yang terbaik untuk mencapai sasaran ke suku akhir," kata Ying Ying yang menjuarai Terbuka Romania tahun lalu.

Berita Harian X